Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang YouTuber dari Indonesia, Frans Sanjaya, dan seorang pekerja muzium bernama Sadan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan ramai mengenai siri animasi popular, Upin & Ipin.

Kejadian ini berlaku ketika Frans sedang berkunjung membuat rakaman di Muzium Wayang di Indonesia.

Dalam perkongsian yang tular itu, Sadan mendakwa bahawa hak cipta bagi karakter Upin & Ipin yang kononnya pada asalnya bernama ‘Ariffin’ telah dibeli oleh sebuah syarikat produksi dari Malaysia pada tahun 2008.

Dakwaan ini telah mencetuskan kontroversi kerana seolah-olah menyatakan bahawa siri animasi tersebut berasal dari Indonesia.

Menyedari kekecohan yang berlaku berikutan kenyataan tersebut, Frans dan Sadan akhirnya memuat naik sebuah video baharu di YouTube untuk memohon maaf secara terbuka serta menjernihkan keadaan.

“Kami ingin memohon maaf sebesar-besarnya kepada rakyat Malaysia dan Indonesia atas salah faham dan kekeliruan yang sudah kami timbulkan,” kata mereka dengan nada kesal dalam video permohonan maaf tersebut.

Mereka mengakui kekhilafan fakta tersebut dan menjelaskan secara terus-terang, “Kami ambil maklum dengan komen yang telah dikeluarkan dan mengakui kekhilafan kami. Kami sama sekali tidak berniat untuk ‘claim’ (membuat tuntutan) atau merendahkan sesiapa”.

Menyedari pentingnya menjaga keharmonian, mereka turut menyeru agar ikatan persaudaraan tidak terjejas disebabkan isu ini.

“Kami harap kesalahan kami itu dimaafkan dan marilah kita berdamai. Indonesia dan Malaysia adalah serumpun dan jiran,” rayu mereka di penghujung kenyataan.

Susulan daripada isu yang dibangkitkan ini, syarikat produksi tempatan iaitu Les’ Copaque telah segera memberi maklum balas bagi menafikan dakwaan tersebut.

Les’ Copaque menegaskan bahawa siri Upin & Ipin merupakan seratus peratus karya asli yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat mereka.

Siri animasi kegemaran ramai ini sebenarnya telah mula diterbitkan sejak tahun 2007 dan sehingga kini terus berjaya mencipta fenomena yang luar biasa di seluruh Asia Tenggara, termasuklah di Malaysia dan Indonesia.