Kecoh di media sosial hari ini apabila penyebaran gambar seorang suspek bertukar menjadi perdebatan hangat.
Semuanya gara-gara penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang dikatakan terlalu melampau sehingga wajah suspek berubah seratus peratus dan langsung tidak menyerupai bentuk asalnya.
Kes ini mula menjadi panas apabila penularan gambar seorang suspek yang diburu dikatakan menggunakan fungsi Enhanced by Ai yang kebiasaannya untuk mendapatkan resolusi gambar yang lebih baik dan jelas.
Namun, sayang sekali fungsi ini juga mempunyai kelemahan yang ketara kerana sering mencampur adukkan elemn pada objek sehingga rupanya akan berubah secara keseluruhannya.
Yang lebih mengeruhkan keadaan, orang ramai berpotensi mudah untuk terpedaya apabila ia disebarkan secara meluas.
Pada tempoh hari lalu, suspek kes kurung, cedera dan meliwat pelajar berusia 14 tahun telah berjaya diberkas dan dibawa ke mahkamah.
Alangkah terkejutnya apabila rupa sebenar tersangat berlainan dengan apa yang ditularkan di media sosial sebelum ini.
Bermula di titik inilah, sebahagian netizen mula pertikai penggunaan fungsi AI dalam mengecam suspek kerana berlaku kekeliruan dari segi rupa asli.



Berdasarkan perbandingan gambar yang tular, jelas kelihatan perbezaan yang amat ketara umpama langit dan bumi antara hasil janaan AI dan wajah sebenar suspek.

Pada paparan janaan ‘AI’, teknologi tersebut telah menapis dan mengubah suai wajah asal menjadi potret seorang pemuda yang tampan.
Ia memaparkan ciri-ciri fizikal yang ‘sempurna’ seperti struktur rahang yang tajam, kulit wajah yang bersih dan licin, serta gaya potongan rambut tebal yang sangat kemas.
Sebaliknya, gambar ‘Sebenar’ mendedahkan realiti suspek yang jauh berbeza. Wajah fizikal suspek sebenar kelihatan lebih berusia dengan cengkungan yang ketara pada bahagian pipi dan mata, susut berat badan, serta masalah rambut nipis dengan garis dahi yang luas.
Transformasi digital yang melampau oleh AI ini secara langsung telah menghilangkan identiti asal dan rupa paras sebenar suspek, menjadikannya kelihatan seperti individu yang berbeza sama sekali.
Hal inilah yang mencetuskan pertikaian dan kebingungan dalam kalangan netizen.
Bukan sahaja informasi yang dihebahkan oleh orang awam tidak tepat malahan akan mengganggu kerja siasatan polis secara tidak langsung.
Bahkan, insan yang mempunyai rupa seakan gambar yang dijana oleh AI itu mungkin menjadi buruan dan akhirnya menganggu kehidupan sebenar walaupun tidak berkait dengan jenayah terbabit.
Kesimpulannya, insiden ini seharusnya menjadi pengajaran penting buat kita semua bahawa teknologi AI ibarat pedang bermata dua.
Walaupun niat asalnya mungkin untuk memperjelaskan imej, namun penggunaannya yang tidak terkawal dalam kes-kes jenayah terbukti membawa lebih banyak mudarat berbanding manfaat.
Penyebaran visual yang telah terherot dari realiti bukan sahaja merencatkan proses keadilan, malah berisiko menganiaya individu yang tidak berdosa.
Oleh itu, masyarakat dinasihatkan agar lebih berwaspada dan sentiasa merujuk kepada sumber rasmi pihak berkuasa sebelum menyebarkan apa-apa maklumat, agar teknologi tidak bertukar menjadi ejen penyebar kekeliruan.