Rancangan Makanan Tambahan (RMT) merupakan satu inisiatif penting di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah mula dilaksanakan sejak tahun 1979.

Program ini dirangka khusus untuk menangani isu keciciran nutrisi dalam kalangan murid yang kurang berkemampuan, memastikan kelangsungan kesihatan mereka tidak terabai.

Baru-baru ini, tular sebuah hantaran di media sosial yang mengundang rasa keluh-kesah ramai pihak dengan gambar makanan daripada program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah yang berakhir di dalam tong sampah.

'Kat Rumah Makan Sedap Sangat Ke?' – Tular Makanan RMT Penuh Tong Sampah, Netizen Kesal Murid Makin Memilih
Sumber Gambar: Threads

Pemandangan yang tidak menyenangkan ini telah menimbulkan pelbagai persoalan di mana silapnya yang membuatkan makanan tersebut tidak diminati oleh murid-murid di sekolah.

“Anak2 ni nak menu RMT apa sebenarnya? Memilih. Puas nasihat. Bersyukur. Makan sampai habis. Semua ni rezeki. Kat rumah makan lebih sedap dan berkhasiat dari ni ke?,” soal pemilik hantaran.

Menurutnya, hantaran itu bukanlah untuk menyalahkan pihak KPM, sekolah, kantin atau guru tetapi sekadar untuk membuka mata orang awam dalam isu program RMT yang tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.

“Menu dan portion yang ditetapkan semua untuk memastikan pembesaran murid dan mereka mendapat nutrisi makanan yang seimbang. Sebab murid b40. Pendapatan rendah. Pointnya ajar anak hargai makanan, bersyukur, tak memilih, ajar anak makan real food bukan junk food. Ajar anak makan buah sayur dari kecil. Biasakan,” ujarnya.

Oleh itu, dia berharap agar ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam membentuk amalan pemakanan yang khasiat di samping bersyukur dengan rezeki yang diterima dari kerajaan.

Orang ramai dalam pada itu juga meluahkan kekecewaan dengan fenomena berkenaan yang bukan sahaja tidak bagus di dalam masyarakat malahan bakal merencatkan pembesaran anak-anak jika tidak diberikan makanan yang seimbang dan sihat.

Kesimpulannya, mendidik anak-anak untuk menghargai makanan bermula dari meja makan di rumah, bukannya di kantin sekolah. Inisiatif kerajaan melalui program RMT sudah cukup murni dan tersusun rapi bagi memastikan anak-anak, terutamanya daripada keluarga B40, mendapat nutrisi yang selayaknya untuk membesar dengan sihat dan cerdas.

Sebagai ibu bapa, buanglah sikap ‘banyak songeh’ atau cuba mengajar pihak berwajib tentang itu dan ini. Sebaliknya, gunakan tenaga tersebut untuk membiasakan tekak anak-anak dengan sayur-sayuran, buah-buahan, dan real food sejak dari kecil.

Ajar mereka erti kesyukuran agar mereka faham bahawa setiap suap nasi yang terhidang adalah rezeki yang amat bernilai. Jika didikan di rumah sudah cukup kukuh, hidangkanlah apa sahaja, pasti anak-anak tidak akan menjadi pemilih dan rezeki tidak lagi berakhir di tong sampah.