Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) tampil mempertahankan keputusan diambil pengadil perlawanan akhir, Mohd Radhi Che Mei memberikan kemenangan kepada Malaysia susulan tindakan kurang profesional Thailand.
Menurut kenyataan rasmi ISTAF yang dikeluarkan MY Metro, segala tindakan diambil pengadil itu adalah mematuhi peraturan serta undang-undang ditetapkan badan induk sepak takraw dunia itu.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Mohd Radhi membatalkan libasan Phutawan Sopa selepas kaki perejam Thailand itu sudah melepasi garisan di bawah jaring.
Keadaan yang menyebabkan Malaysia berjaya menyamakan kedudukan itu membuatkan kem Thailand berang dan ingin melakukan ‘challenge’. Sebaliknya, ‘challenge’ kaki melebihi garisan tidak dibenarkan.
Pertikaian itu diakhiri dengan keengganan Thailand untuk meneruskan permainan lalu membolehkan Malaysia memenangi perlawanan.

ISTAF Pertahan Keputusan Pengadil
“Pasukan Thailand kemudian meminta semakan dengan ‘challenge’ dilakukan.”
“Bagaimanapun, pengadil memaklumkan kesalahan membabitkan garisan tengah tidak termasuk dalam prosedur sistem ‘challenge’ sedia ada.”
“Berdasarkan buku teknikal ISTAF dan peraturan pertandingan, pengadil perlawanan kemudian mengisytiharkan Thailand kalah dan kemenangan diberikan kepada Malaysia.”
Dalam pada itu, badan induk itu turut memberikan saranan supaya segala rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan perlu diluahkan di saluran yang betul.
“ISTAF kekal komited melindungi integriti sukan, profesionalisme pengadilan dan semangat ‘fair play’ dalam semua pertandingan diiktiraf ISTAF.”
ISTAF juga turut memaklumkan insiden membabitkan disiplin pertandingan serta tindakan pegawai dan pemain Thailand pada aksi final itu sudah dirujuk kepada badan disiplin berkaitan untuk penelitian lanjut.