Lima pemain regu ketiga sepak takraw Thailand yang bertindak memboikot aksi final acara berpasukan TM ISTAF Piala Dunia Sepak Takraw 2026 tempoh hari bakal dihadapkan ke prosiding disiplin badan induk sepak takraw dunia tersebut.
Perkembangan terkini itu disahkan ISTAF dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan berhubung tindakan tidak profesional tersebut.
Regu ketiga Thailand yang beraksi pada ketika itu ialah Jakkrit Tinbangbon, Sittipong Khamchan (tekong) Phutawan Sopa (perejam) dan Wichan Temkort selaku pengumpan.
Skuad Thailand Dihadapkan Ke Jawatankuasa Disiplin
“Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) yang berlangsung petang semalam secara dalam talian dan dihadiri oleh sepuluh (10) wakil dari beberapa buah negara telah membincangkan secara terperinci insiden yang berlaku semasa Perlawanan Akhir Acara Berpasukan antara Thailand dan Malaysia dalam TM ISTAF Sepaktakraw World Cup Kuala Lumpur 2026 pada 24 Mei lalu.”
“Setelah meneliti laporan rasmi pegawai pertandingan, aduan yang dikemukakan oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), rakaman video serta representasi yang dikemukakan oleh Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Jawatankuasa Disiplin bersetuju bahawa terdapat asas yang mencukupi untuk meneruskan prosiding disiplin terhadap lima (5) pemain Regu Ketiga Thailand yang didakwa enggan meneruskan perlawanan.”
“Selain itu, dua (2) jurulatih dan seorang (1) pengurus pasukan Thailand yang didakwa mengarahkan, menyokong atau gagal menghalang tindakan tersebut juga akan dihadapkan ke prosiding disiplin.”
“Jawatankuasa Disiplin berpandangan bahawa isu ini perlu ditangani secara tegas dan adil demi memelihara integriti, disiplin serta masa depan sukan sepak takraw di pentas antarabangsa, khususnya dalam usaha memastikan sukan ini terus kekal dipertandingkan dalam temasya besar seperti Sukan Asia Nagoya 2026 dan Sukan Asia Doha 2030.”
“Surat pertuduhan rasmi akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada 20 Jun 2026. Kesemua lapan (8) individu terbabit akan diberikan tempoh empat belas (14) hari untuk mengemukakan jawapan bertulis terhadap pertuduhan yang dikenakan.”
“Selepas tempoh tersebut, Jawatankuasa Disiplin akan meneruskan pendengaran dan membuat keputusan berdasarkan keterangan serta bukti yang dikemukakan mengikut Perlembagaan dan Peraturan ISTAF. Bagi tujuh (7) pemain Thailand daripada Regu Pertama dan Regu Kedua yang turut berada di kawasan gelanggang (field of play) semasa insiden tersebut dan didapati melakukan tindakan yang boleh dianggap sebagai provokasi, Jawatankuasa Disiplin telah memutuskan supaya mereka diberikan Amaran Keras.”
“Selain itu, mereka dikehendaki menandatangani satu Undertaking yang mengandungi komitmen untuk: menghormati keputusan pegawai perlawanan, mematuhi Perlembagaan serta Peraturan ISTAF, tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kelancaran pertandingan dan memelihara semangat kesukanan dan fair play dalam semua kejohanan antarabangsa.”
“Dalam pada itu, Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) juga akan diminta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada komuniti sepak takraw antarabangsa serta para penonton atas insiden yang berlaku yang jelas tidak mencerminkan semangat kesukanan yang menjadi asas kepada sukan ini.”
“ISTAF memandang serius setiap pelanggaran disiplin sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Walau bagaimanapun, setiap tindakan disiplin akan dilaksanakan secara adil, telus dan berlandaskan prinsip due process bagi memastikan maruah, integriti dan masa depan sukan sepak takraw terus terpelihara.”