Kekalahan skuad sepak takraw Thailand di tangan Malaysia dalam acara regu berpasukan pastinya menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat sukan berkenaan di Asia Tenggara.

Apa yang menarik perhatian ramai adalah reaksi matang dan puitis daripada peminat serta laman popular komuniti sepak takraw di Thailand, Sanamtakraw.

Menerusi hantaran terkini laman berkenaan, mereka memuat naik luahan jujur yang penuh falsafah: “Daripada pemangsa menjadi mangsa, tiada apa lagi selain menerima kekalahan dan bangkit semula.”

Kenyataan terus daripada laman itu membawa makna yang cukup mendalam. Bagi sebuah negara yang sekian lama mendominasi pentas sepak takraw dunia sebagai ‘pemburu’, pengakuan ini mengesahkan bahawa kedudukan mereka kini tergugat dengan corak permainan agresif dan pertahanan mantap barisan pemain Malaysia.

Sikap Profesional & Hormat Kualiti Lawan

Hantaran tersebut bukan sahaja mendapat perhatian penyokong negara jiran itu, malah dipuji kerana memperlihatkan semangat kesukanan yang tinggi.

Bukannya mencari alasan, laman tersebut memilih untuk menerima hakikat kekalahan sebagai dorongan untuk skuad mereka melakukan penilaian semula menjelang kejohanan akan datang.

Pujian turut diakui oleh para peminat tempatan di ruang komen yang menilai tahap ketelitian permainan skuad negara:

“Kena akui Malaysia memang bermain dengan sangat teliti hari ini. Thailand dah main ikut standard biasa, tapi dalam ritma perlawanan, Malaysia main lebih tepat dan meyakinkan. Bagi saya Thailand dah main bagus hari ini, cuma pasukan yang kurang buat kesilapanlah yang berhak menang,” ujar salah seorang peminat dari Thailand.

“Malaysia bermain dengan sangat baik,” tambah seorang lagi peminat.

Pembangunan Sistem Liga Resahkan Peminat Thailand

Selain mutu persembahan di gelanggang, faktor pembangunan dan struktur kejohanan turut menjadi topik perbualan panas dalam kalangan penyokong Thailand. Mereka menyedari kewujudan sistem liga di Malaysia kini mula membuahkan hasil yang ketara:

“Negara di sana (Malaysia) ada sistem liga, negara kita (Thailand) masih guna format kejohanan lagi. Kalau kita tak bangunkan sistem liga, nampaknya memang sukar (untuk bersaing/kejar),” luah penyokong mereka.

Pengakuan terbuka daripada laman Sanamtakraw dan pemerhati takraw di sana membuktikan bahawa kejayaan skuad Malaysia kini bukan sahaja dihormati, malah menjadi penanda aras baharu dalam arena sepak takraw rantau Asia Tenggara.

Sumber