Skuad sepak takraw menambah pungutan pingat emas buat kontinjen Malaysia selepas berjaya menundukkan Thailand 2-0 pada aksi final acara regu berpasukan lelaki Sukan Asia 2026 yang berlangsung di Nagoya City Mizuho Park Gymnasium sebentar tadi.

Kejayaan manis itu sekali gus menamatkan penantian selama 36 tahun buat kem negara dimana kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas dalam acara ini adalah pada edisi 1990 di Beijing, China.

Kemenangan Sensasi Skuad Sepak Takraw Malaysia

Regu pertama yang dibarisi Syahir Rosdi selaku tekong, Azlan Alias sebagai perejam dan pengumpan, Farhan Adam jelas tidak menghampakan.

Gandingan berpengalaman itu beraksi dengan cukup baik untuk menang set pertama dengan keputusan 15-9. Namun skrip berbeza disaksikan pada set kedua selepas Pornthep Tinbangbon (tekong), Phutawan Sopa (perejam) dan Marukin Phanmakon (pengumpan) pula nyata sukar digugat dengan kemenangan 15-5.

Tersentak dengan kekalahan mudah itu, regu negara tampil dengan lebih baik pada set ketiga untuk mendahului dengan jauh 8-3 dan kemudiannya 14-8.

Walaupun Thailand cuba bangkit melawan tetapi barisan pemain negara tidak gentar untuk mengesahkan kemenangan 15-11 bagi mata pertama buat Malaysia.

Kemenangan itu nyata menyemarakkan lagi semangat juang Zulkifli Abd Razak (tekong), Muhammad Afifuddin Mohd Razali (perejam) dan Aidil Aiman Azwawi (pengumpan).

Regu ‘Pantai Timur’ itu jelas tidak gentar dengan tekanan hebat cuba dijelmakan Kritsanapong Nontakote (tekong), Tanaphon Sapyen (perejam) dan pengumpan, Wuttinun Kamsanor.

Ia dibuktikan dengan kemenangan 15-13 pada set pertama dilakarkan dan kemudiannya memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia dengan kemenangan 15-10.

Ia bukan sahaja pingat emas buat kem negara tetapi ia adalah kekalahan ketiga Thailand ditangan Malaysia ketika Ahmad Jais Baharun membariskan skuad terkuatnya dalam acara berpasukan.

Bermula dengan Sukan SEA 2025, Piala Dunia 2026 dengan skuad Thailand menarik diri dan kini di Sukan Asia 2026. Satu pencapaian hebat dilakarkan skuad regu berpasukan negara.