Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah melaksanakan penangguhan sementara bagi urusan Tukar Hak Milik (THM) melalui semua saluran urus niaga dalam talian berkuat kuasa pada 25 Mei 2026.
Memetik kenyataan rasmi, Penangguhan ini merangkumi portal awam, kiosk, serta perkhidmatan rakan niaga JPJ, iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd.
Langkah ini merupakan satu tindakan kawalan serta-merta yang diambil susulan daripada penerimaan aduan rasmi dan laporan di media sosial mengenai insiden pertukaran hak milik kenderaan yang berlaku tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
JPJ memandang serius perkara ini demi memelihara keselamatan dan integriti rekod pendaftaran kenderaan dalam sistem mereka.
Berikutan penangguhan ini, semua urusan THM bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat kini wajib dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ dengan ketetapan proses seperti berikut:
Kategori Persendirian Individu: Urusan boleh diselesaikan pada hari yang sama di semua Pejabat JPJ Negeri dan cawangan.
Kategori Persendirian Syarikat: Proses pengesahan dan kelulusan akan mengambil masa lima (5) hingga tujuh (7) hari bekerja, bermula daripada tarikh dokumen yang lengkap diserahkan kepada pihak JPJ.
Bagi urusan yang melibatkan penyedia perkhidmatan eAuto, hanya Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) sahaja yang masih beroperasi seperti biasa.
Sistem tukar hak milik kekal, iaitu eSerahan Tukar Milik (eSTM), telah ditangguhkan pelaksanaannya.
Oleh itu, mana-mana pihak termasuk wakil syarikat kenderaan terpakai yang ingin melaksanakan eSTM perlu membuat permohonan secara terus di Pejabat JPJ Negeri atau Cawangan.
Di samping itu, JPJ turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa menyemak dan mengemaskini maklumat serta data terkini kenderaan masing-masing dalam sistem JPJ bagi melindungi kepentingan sebagai pemilik kenderaan