Baru-baru ini, tular sebuah rakaman dashcam di aplikasi Threads yang memaparkan insiden kemalangan membabitkan sebuah kereta pendaftaran Singapura dan kereta milik seorang wanita warga tempatan.
Kejadian yang dipercayai berlaku di luar sebuah pusat beli-belah di Johor itu mengundang kemarahan ramai akibat sikap sambil lewa pemandu tersebut yang seolah-olah mahu lari dari tanggungjawab.
Hon Sudah Dibunyikan, Tapi Tetap Dilanggar
Berdasarkan perkongsian wanita berkenaan, insiden bermula apabila kenderaannya berada betul-betul di belakang kereta pendaftaran Singapura tersebut. Secara tiba-tiba, kenderaan di hadapannya itu mula mengundur.
Menyedari bahaya, wanita tersebut telah membunyikan hon beberapa kali sebagai amaran. Namun, pemandu lelaki itu tetap gagal menyedari kehadiran keretanya di belakang, lalu terus mengundur dan melanggar bampar hadapan kenderaan wanita terbabit.
Mohon Maaf Acuh Tak Acuh, Selamba Terus Beredar
Susulan pelanggaran tersebut, mangsa menyangkakan pemandu itu akan tampil untuk menyelesaikan masalah dan bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian yang berlaku. Malangnya, apa yang terjadi amat mengecewakan.
Menurut wanita itu, pemandu tersebut sekadar keluar dan memberikan permohonan maaf secara acuh tak acuh, malah langsung tidak memandang tepat ke matanya ketika bercakap. Lebih memanaskan keadaan, lelaki itu didakwa cuba meremehkan impak pelanggaran tersebut.
“Nothing ah, nothing ah (Tak ada apalah, tak ada apa),” kata pemandu itu dengan riak wajah yang bersahaja.

Tanpa rasa bersalah, lelaki tersebut kemudiannya terus masuk semula ke dalam keretanya dan memandu pergi meninggalkan lokasi kejadian begitu sahaja.
Boleh tonton video penuh dengan klik di sini.
Mangsa Buat Laporan Polis, Netizen Tumpang Bengang
Tindakan biadab itu sudah pastinya membuatkan mangsa naik hantu. Masakan tidak, pemandu tersebut dengan mudah beranggapan pelanggaran itu hanyalah perkara kecil yang boleh diabaikan, sedangkan kereta wanita itu jelas mengalami kerosakan akibat kecuaiannya.
Tidak mahu melepaskan si pelaku, wanita berkenaan mendedahkan di ruangan komen bahawa dia telah pun membuat laporan polis berhubung insiden langgar lari itu untuk tindakan undang-undang yang seterusnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa bengang terhadap sikap tidak peduli pemandu berkenaan.
Ramai yang menggesa wanita tersebut untuk mengambil tindakan tegas dan mengecam sikap segelintir pemandu dari negara seberang tambak yang disifatkan angkuh, mementingkan diri, serta seolah-olah tidak menghormati undang-undang jalan raya di negara ini.