Siapa sahaja yang tidak suka beli barang murah secara online, kan? Apatah lagi kalau memborong dari platform e-dagang popular dari China, Pinduoduo.
Gara-gara nila setitik, rosak susu sebelanga. Begitulah kisahnya apabila taktik licik segelintir pembeli dari Malaysia yang didakwa menyalahgunakan fungsi refund di aplikasi Pinduoduo mula terbongkar.
Netizen tempatan meluahkan rasa berang kerana sikap mementingkan diri seperti ini boleh ‘spoil market’ dan memburukkan nama pembeli Malaysia yang lain.
Perkara ini mula menjadi hangat apabila terdapat wujud hantaran-hantaran dari pembeli Malaysia yang didapati sengaja mendapatkan tuntutan wang semula dek kerana kerosakan kosmetik yang tidak menjejaskan fungsi asalnya.
Sebagai contoh, salah satu kes paling terbaharu, seorang lelaki tempatan menceritakan bagaimana dia berjaya mendapatkan wang tuntutan dengan harga penuh untuk papan pemotong berharga RM4 sahaja walhal isunya sekadar bengkok sedikit namun masih boleh dipakai.

“Aku ada beli papan hiris utk mak aku. Sekali sampai barang ok. Cuma standard la kan ada bengkok2 skit sbb plate tak tebal sangat boleh bengkok,” kenyataannya yang mengakui barang itu memang rapuh.

Perkongsian lelaki itu lantas meraih kecaman netizen tempatan kerana didakwa mengambil kesempatan ke atas kemudahan refund itu sedangkan barangan itu berkemungkinan akan dipakai jua selepas itu.
“Boleh tahan ya ramai salah guna refund dekat Pinduoduo ni. Kalau barang masih boleh guna lagi, cuma sedikit bengkok atau tidak sempuran, bincang elok-elok dengan penjual and ambik partial refund tu dah logic dah. Barang pun masih boleh digunakan,” tegas seorang warga tempatan dalam perihal itu.
Di dalam satu insiden lain, seorang individu dikatakan telah memesan 100 botol spray mini dan didapati yang rosaknya cuma beberapa botol sahaja. Bagaimanapun, dia memilih untuk mendapatkan refund penuh daripada penjual di China dan sudah pasti akan merugikan pihak di sana pula.
Dalam pada itu, ramai membangkitkan isu penyalah gunaan refund ini lambat laun pasti akan dihidu oleh pihak pembangun dan penjual di China dan akhirnya mungkin akan mendapat tanggapan negatif dan kesukaran berurusan di masa kelak.
Sementara pelanggan tempatan yang pernah membeli di platform e-dagang yang tular pada ketika itu, sebahagian berkongsi yang mereka sekadar menutup sebelah mata sahaja kalau barangan yang diterima ada kecacatan atau pun tidak cukup kompenen kerana harga yang dikenakan juga rendah.
Jadi, tiada keperluan untuk membuat tuntutan semula pemulangan wang dan sangat memahami akan betapa proses logistik antarabangsa yang cukup kompleks sehinggalah ia sampai ke pintu rumah anda.
“Tolong jangan bersikap biadab terhadap penjual dari luar negara jika barang yang diterima tiada kecacatan utama. Penghantaran melalui kapal laut boleh menyebabkan sedikit kemek memandangkan kesemua barang dimuatkan di dalam kontena. Janganlah bersikap kedekut atau terlalu menuntut.”
“Maaf ya, saya cuma ingin menegur. Janganlah kita menuntut sesuatu secara tidak wajar kerana rezeki itu nanti tidak berkat. Untuk kerosakan kecil, kita sebagai manusia wajar bertolak ansur. Kalau kerosakan itu besar atau teruk, barulah aduan itu boleh difahami. Terima kasih.”
“Sangat setuju. Benda dah la murah, penghantaran percuma pulak tu. Lepastu banyak cekadak. Kalau ikutkan harga penghantaran lagi mahal dari barang. Logiknya mana keuntungan penjual?”, soal seorang lagi.
Selain soal keberkatan dalam urusan jual beli, orang ramai percaya sifat empati terhadap sesama insan lain juga perlu diambil kira kerana penjual turut perlu meraih pendapatan demi kelangsungan bisnesnya. Kalau seratus orang berbuat sedemikian, alamatnya bisnes pasti ‘bungkus’ dalam jangka masa panjang.
Kesimpulannya, kemudahan membeli-belah dalam talian berserta polisi pemulangan wang yang mesra pelanggan seharusnya dihargai, bukan dimanipulasi untuk kepentingan peribadi.
Sikap segelintir individu yang ‘menangguk di air keruh’ ini bukan sahaja menjejaskan periuk nasi peniaga, malah berisiko mencemarkan reputasi pembeli dari Malaysia di peringkat antarabangsa.
Jadilah pengguna yang bijak, jujur, dan beretika agar ekosistem e-dagang ini kekal harmoni dan memberi manfaat kepada semua pihak untuk jangka masa yang panjang.