Spritzer telah berjaya melakar sejarah dengan menjadi jenama air botol Malaysia yang pertama menerima pensijilan kualiti minuman daripada National Sanitation Foundation (NSF), sebuah organisasi antarabangsa terkemuka yang berdedikasi untuk melindungi kesihatan manusia.

Pensijilan yang berprestij ini dianugerahkan kepada tiga jenis produk utama di bawah syarikat tersebut iaitu Air Mineral Semulajadi, Air Minuman Suling, dan Air Mineral Semulajadi Berkarbonat.

NSF merupakan sebuah organisasi yang diakreditasi oleh Institut Piawaian Kebangsaan Amerika (ANSI).

Pensijilan kualiti minuman bebas yang dikendalikan oleh mereka mengesahkan bahawa sesuatu produk itu telah mematuhi piawaian keselamatan yang diiktiraf di peringkat global melalui analisis yang ketat terhadap produk dan kemudahan pembuatan.

Syarat-syarat pematuhan ini adalah sejajar dengan ketetapan kawal selia oleh pelbagai organisasi kualiti antarabangsa, termasuklah Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (US FDA).

Program Pensijilan Air Botol yang dibangunkan oleh NSF ini menjalankan ujian komprehensif yang meliputi analisis mikrobiologi, kimia dan radiologi.

Spritzer Lakar Sejarah, Jadi Jenama Pertama Malaysia Tembus Senarai Elit Kualiti Minuman Dunia
Sumber Gambar: NSF

Sutida Ketudut, Pengarah Urusan NSF APAC, menyatakan bahawa pensijilan ini bukan sahaja memperluaskan pengaruh NSF di rantau Asia Pasifik (APAC), malah ia memastikan para pengguna mempunyai pilihan air minuman yang terjamin dan boleh dipercayai.

Dr. Chuah selaku wakil Spritzer turut menzahirkan kebanggaan syarikat tersebut atas kejayaan memperoleh pengiktirafan global ini.

Beliau menegaskan bahawa pensijilan ini mengukuhkan lagi komitmen berterusan Spritzer dalam membekalkan air minuman yang bukan sahaja selamat tetapi juga berkualiti tinggi.

Spritzer Jaga Standard Kualiti

Bagi melengkapkan standard kualitinya, Spritzer amat menitikberatkan soal kelestarian dan integriti pembungkusan.

Hal ini dapat dilihat melalui inisiatif syarikat menggunakan bahan kitar semula serta memastikan pembungkusan produk rangkaian air mineral semulajadi mereka disahkan bebas daripada bendasing mikroplastik.

Menerusi penganugerahan ini, produk-produk Spritzer yang telah diperakui kini layak memaparkan tanda pensijilan rasmi NSF dan senarai produk berkenaan akan disiarkan di laman web rasmi organisasi terbabit bagi memudahkan pengesahan oleh pihak pengguna mahupun peruncit.

Pensijilan ini turut dipanjangkan kepada jenama antarabangsa milik syarikat itu, iaitu ACILIS by Spritzer, yang kini giat dieksport ke pasaran antarabangsa termasuk negara-negara di sekitar Asia dan Timur Tengah.

Ditubuhkan sejak tahun 1989, Spritzer terus berdiri teguh sebagai jenama air mineral semulajadi terkemuka di Malaysia atas dasar dedikasi berdekad dalam penjagaan sumber air, kecemerlangan kualiti, serta amalan pembuatan yang penuh bertanggungjawab.

Sumber