Seekor kerbau albino yang jarang ditemui di Bangladesh telah terselamat daripada dijadikan korban untuk perayaan Aidiladha pada saat-saat akhir.
Kerbau seberat hampir 700 kilogram ini mendapat perhatian ramai kerana ia mempunyai jambul rambut berwarna perang yang saling tidak tumpah seperti Presiden Amerika Syarikat, lalu ia diberikan gelaran “Donald Trump”.

Pemilik ladang tersebut, Ziauddin Mridha yang menetap di Narayanganj, berkata adik lelakinya yang memberikan nama itu selepas menyedari persamaannya dengan presiden tersebut.
Menariknya, nama itu diberikan sekadar suka-suka dan sebagai tanda kasih sayang terhadap haiwan tersebut. Kerbau ini juga dilaporkan mempunyai sifat yang sangat jinak dan memerlukan penjagaan yang rapi, termasuklah jadual makan yang kerap serta perlu sentiasa dimandikan.
Pada asalnya, kerbau ini telah pun dijual untuk tujuan ritual penyembelihan sempena perayaan tersebut. Namun, keadaan berubah apabila video haiwan ini tular di media sosial, lantas mencetuskan fenomena dan rasa ingin tahu di seluruh negara.
Orang ramai berpusu-pusu datang ke ladang tersebut semata-mata untuk melihat kerbau yang mempunyai rupa unik serta perwatakan yang tenang ini. Kerbau albino sememangnya sangat jarang ditemui di Bangladesh kerana majoriti ternakan di sana berwarna gelap, menjadikannya sangat menonjol.
Melihat kepada minat luar biasa daripada orang awam dan bagi mengelakkan masalah keselamatan, campur tangan kerajaan telah mengubah nasib haiwan ini.
Menteri Dalam Negeri, Salahuddin Ahmed, telah mengeluarkan arahan agar kerbau tersebut tidak dikorbankan, wang pembeli dipulangkan semula, dan haiwan berkenaan dipindahkan untuk dipelihara di zoo negara di Dhaka. Pada akhirnya, gelaran “Donald Trump” yang diberikan atas dasar kasih sayang itu berkemungkinan besar merupakan faktor utama yang telah menyelamatkan nyawanya daripada disembelih.