Syarikat penerbangan AirAsia X kini sedang menjalankan semakan menyeluruh ke atas polisi dan prosedur berkaitan penggunaan kerusi khas keselamatan kanak-kanak di dalam pesawat.

Langkah ini diumumkan susulan insiden pada Selasa lalu, di mana sebuah keluarga dan anak perempuan mereka yang menghidap cerebral palsy kuadriplegik tidak dibenarkan meneruskan penerbangan.

Insiden ini mula mendapat perhatian umum selepas ibu kanak-kanak tersebut, Syarifah Ella Wan Wahab, meluahkan kekecewaannya menerusi satu perkongsian di laman Facebook.

Sebelum Ini Tiada Masalah

Menurut beliau, keluarganya yang terdiri daripada suami, tiga anak kecil, dan seorang pembantu rumah telah melepasi semua prosedur daftar masuk, imigresen, dan selamat menaiki pesawat.

Walau bagaimanapun, mereka kemudiannya diarahkan turun oleh kru darat dan kabin selepas dimaklumkan bahawa juruterbang memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan kerusi khas kanak-kanak berkenaan.

Keadaan ini menimbulkan kekeliruan memandangkan Syarifah Ella mendakwa anaknya pernah menggunakan kerusi yang sama dalam banyak penerbangan domestik dan antarabangsa sebelum ini, termasuk bersama syarikat penerbangan yang sama, tanpa sebarang masalah.

Beliau juga mendakwa permohonannya untuk melihat polisi syarikat pada awalnya ditolak.

Selepas didesak, kru penerbangan menjelaskan bahawa dasar tersebut menetapkan kerusi khas hanya dibenarkan untuk kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga tiga tahun dan seberat tidak melebihi 18 kilogram.

Situasi ini mengundang persoalan daripada beliau sama ada dasar tersebut terpakai untuk kanak-kanak berkeperluan khas yang amat memerlukan kerusi berkenaan atas faktor perubatan.

Penjelasan Daripada AirAsia X

Tampil memberikan pencerahan, Ketua Pegawai Keselamatan dan Kualiti AirAsia X, Kapten Saravanan Subramaniam, menegaskan bahawa keputusan yang dibuat ketika kejadian adalah berdasarkan keperluan keselamatan yang berkuat kuasa berkaitan kesesuaian kerusi tersebut untuk digunakan di dalam pesawat, petik Berita Harian.

Walaupun AirAsia X memahami kekecewaan serta perbezaan jangkaan keluarga terbabit akibat pengalaman perjalanan terdahulu, beliau menekankan bahawa keselamatan dan kesejahteraan penumpang sentiasa menjadi keutamaan pihak syarikat.

AirAsia kini menyemak semula polisi dan prosedur berkaitan kerusi khas keselamatan kanak-kanak bagi memastikan garis panduan lebih jelas serta pelaksanaannya lebih konsisten pada masa depan,” jelas beliau.

Bagi menjernihkan keadaan, pihak AirAsia X telah pun menghubungi keluarga berkenaan untuk memberikan penjelasan lanjut serta menawarkan bantuan yang sewajarnya.

Susulan daripada insiden ini, pihak syarikat menyarankan agar penumpang pada masa akan datang, khususnya penumpang orang kurang upaya (OKU), mengemukakan dokumen dan pensijilan berkaitan kesesuaian kerusi keselamatan kanak-kanak terlebih dahulu bagi memudahkan kelulusan dan proses penilaian sebelum berlepas.

Kapten Saravanan juga memberi jaminan bahawa pasukan darat dan kru penerbangan mereka telah dilatih untuk menangani segala situasi secara profesional dan prihatin.

Setiap maklum balas yang disuarakan oleh pelanggan, termasuk daripada insiden ini, akan dimanfaatkan untuk penambahbaikan berterusan bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan konsisten buat semua penumpang kelak.