Dalam dunia perniagaan, ramai pengguna tidak lagi mengambil berat mengenai asal-usul sesuatu jenama tersebut adakah dari Malaysia, atau sebenarnya dari negara lain selagi ia memenuhi keperluan harian.
Ini termasuk juga dengan asal usul sesuatu jenama atau produk, seperti batik yang selalu menjadi perdebatan di antara dua negara Malaysia dan Indonesia.
Tetapi tahukah anda ada beberapa jenama Malaysia yang begitu popular di Indonesia sehingga ia berjaya menakluk pasaran sana.
Menurut Jembar Digital, jenama-jenama ini juga pernah dikira sebagai jenama tempatan di kalangan rakyat Indonesia.
Antara jenama tersebut adalah Maybank, salah satu institusi kewangan yang terkemuka di Malaysia.
Namun, di Indonesia, kehadiran Maybank cukup besar sehingga ada yang menyangka bahawa ia milik Indonesia.
Selain itu, jenama Fipper sebuah syarikat selipar atau sandal yang terkenal dengan reka bentuk yang minimalis dan menarik.
Bagaimanapun kebanyakan rakyat Indo menyangka bahawa jenama ini datang daripada Thailand kerana sandal ini berjaya menguasai pusat beli-belah terkemuka di Indonesia.
Tetapi, hakikatnya Fipper adalah jenama yang berasal dari Malaysia.
Sandal ini telah menembusi pasaran dengan mudah, terutamanya di kalangan golongan muda yang mengutamakan keselesaan dan gaya kasual.
Ketiga pula adalah AirAsia, syarikat tambang murah yang berjaya menakluk bukan sahaja pasaran ASEAN, tetapi dikira antara jenama tambang murah terbaik dunia.
Syarikat penerbangan tambang murah ini telah lama menjadi pilihan utama bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia.
Dengan promosi tiket tambang murah yang sentiasa ditunggu-tunggu, AirAsia sering disalah anggap sebagai syarikat penerbangan Indonesia oleh sebilangan rakyat negara jiran.
Untuk memperkukuhkan lagi kehadirannya di pasaran Indonesia, CEO AirAsia, Tony Fernandes, baru-baru ini memutuskan untuk membuka ibu pejabat di Jakarta.
Ini membuktikan betapa pentingnya pasaran Indonesia bagi AirAsia.