Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun untuk membantu siasatan melibatkan seorang remaja wanita berusia 14 tahun yang mengalami halusinasi dan mencederakan diri sendiri.
Remaja lelaki tersebut disyaki membekalkan mushroom vape kepada teman wanitanya itu. Dan suspek ditahan reman 5 hari untuk disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Trend penggunaan rokok elektrik atau vape dalam kalangan remaja nampaknya semakin membimbangkan, terutamanya dengan kemunculan cecair vape terlarang yang dicampur dengan dadah berbahaya atau dikenali sebagai ‘vape mushroom’.
Baru-baru ini, tular satu kisah tragis membabitkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang mengalami kecederaan parah pada bahagian leher dan tangan akibat perbuatan sendiri selepas dipercayai berada di bawah pengaruh bahan terlarang tersebut.
Alami Halusinasi Melampau
Menurut laporan awal, remaja berkenaan bertindak mengelar leher dan tangannya sendiri menggunakan objek tajam akibat kesan halusinasi yang melampau selepas menghisap vape mushroom.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata: “Mangsa dikatakan tidak sedar apa yang dilakukan oleh dirinya sendiri kerana mindanya telah dikawal oleh kesan dadah sintetik yang ada di dalam cecair vape tersebut.”
Mujurlah, tindakan luar kawalan itu berjaya disedari sebelum mangsa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Walaupun terselamat, kejadian ini meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada ahli keluarga dan parut kekal yang mengerikan.
Namun remaja lelaki 17 tahun yang didakwa membekalkan vape tersebut didapati negatif dalam ujian saringan kencing.
Apa Itu ‘Vape Mushroom’?
Bagi yang belum tahu, ‘vape mushroom’ bukanlah cecair perisa biasa. Ia merupakan cecair vape yang telah diubah suai dengan campuran dadah sintetik berbahaya seperti synthetic cannabinoid.
Kesan Serta-merta: Mengakibatkan khayal, sawan, muntah, dan kegagalan fungsi organ.
Kesan Mental: Menyebabkan halusinasi yang sangat teruk, paranoia (ketakutan melampau), dan hilangnya pertimbangan akal sehingga boleh mencederakan diri sendiri atau orang sekeliling.
Ramai yang meminta pihak berkuasa memperketatkan lagi undang-undang dan melakukan operasi besar-besaran terhadap penjualan cecair vape terlarang ini, terutamanya yang dijual secara dalam talian atau ‘bawah meja’.
Ibu bapa juga dinasihatkan untuk sentiasa memantau perubahan tingkah laku anak-anak dan memeriksa barangan peribadi mereka bagi mengelakkan perkara seumpama ini daripada berulang. Jangan sampai sudah terhantuk, baru nak tengadah.