Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini mengorak langkah proaktif dengan berhasrat untuk menubuhkan Sekolah Pergunungan atau ‘Mountain School‘, petik Berita Harian.

Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk merancakkan industri pendakian tempatan, malah menjadi solusi kepada isu keselamatan yang sering berlaku di kawasan pergunungan.

Mengapa Sekolah Pergunungan Ini Ditubuhkan?

Idea penubuhan ini tercetus hasil kolaborasi antara UPSI bersama Persatuan Malim Gunung Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff:

Pusat Latihan & Penyelidikan: Menjadi pusat sehenti bagi pembelajaran teknikal pendakian dan penyelidikan pergunungan.

Isu Keselamatan: Meminimumkan insiden kecelakaan atau kes hilang di gunung yang semakin kerap dilaporkan.

Khidmat Masyarakat: Menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir agar universiti lebih cakna dengan keperluan komuniti.

Mountain School ini akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia dan antarabangsa. Matlamat utamanya adalah memberikan pendedahan profesional dalam bidang pendakian, penyelidikan, dan misi penyelamat.”

Apa Yang Bakal Ditawarkan?

Menariknya, sekolah ini tidak terhad kepada kursus pendek sahaja. Ia merangkumi skop pembelajaran sepanjang hayat yang sangat luas:

Kemahiran Teknikal: Teknik mendaki, navigasi, dan menyelamat (SAR).

Etika & Alam Sekitar: Pemuliharaan alam dan interpretasi alam semula jadi.

Pengurusan & Sosioekonomi: Pengurusan acara pendakian dan impak ekonomi industri.

Peringkat Pengajian: Bermula daripada kursus jangka pendek, sijil profesional, diploma, ijazah, sehingga peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Gabungan Pakar Tempatan Dan Antarabangsa

Sekolah ini akan dikendalikan oleh Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan serta Adventure Leadership & Outdoor Recreation Academy (ALORA) UPSI.

Bagi memastikan kualiti silibus yang bertaraf dunia, UPSI akan bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti KPT, KBS, PERHILITAN, dan Jabatan Perhutanan.

Malah, penglibatan agensi antarabangsa seperti Outward Bound dan National Outdoor Leadership School turut akan memperkukuhkan lagi kredibiliti sekolah ini.

Langkah ini dijangka akan melahirkan lebih ramai pendaki dan malim gunung yang bukan sahaja mahir secara fizikal, tetapi mempunyai ilmu teori dan etika yang mantap.

Sumber