Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang menemani Allahyarham Mustaqqeem Mansoor menyatakan dia tidak mempunyai niat untuk meninggalkan arwah keseorangan semasa turun meninggalkan puncak Gunung Liang.
Menurut, Rahimi, 50 tahun, dia menunggu arwah di beberapa lokasi sepanjang laluan termasuk di Kem 7E.
Baca Juga:
- Sangkal Dakwaan Lepas Tangan, Rakan Pendaki Ceritakan Situasi Sebenar Di Gunung Liang

- Pendaki Gunung Liang Maut: Dua Malim Gunung Ditahan, Masuk Hutan Simpan Tanpa Permit

“Saya mengiringi arwah sejak hari pertama pendakian hingga hari ketiga, walaupun arwah mengalami kekejangan otot namun dia masih boleh berjalan secara perlahan menyebabkan kami jauh ketinggalan dengan kumpulan pertama dan kedua.
“Ekspedisi Trans Temangkok mendaki Gunung Liang dilakukan secara ‘compress‘ mengambil masa hanya tiga hari, kebiasaan ekspedisi mengambil masa antara empat hingga lima hari. Faktor terlalu mengejar masa mungkin menyebabkan arwah tertekan dan kepenatan.
“Saya bersama arwah di puncak Gunung Liang pada hari ketiga, selepas makan dan minum, kami memutuskan untuk turun kira-kira jam 10.30 malam. Keadaan arwah ketika itu agak lemah tapi masih mampu berjalan dengan perlahan,” katanya kepada Harian Metro.
Pada masa sama dia mendakwa arwah dalam keadaan penat dan lemah turut berkelakuan pelik apabila seolah memerhatikan sesuatu di sekelilingnya ketika berjalan.
Arwah menyatakan dia berbuat sedemikian untuk melihat akar pokok bagi mengelak tersangkut kaki.
Rahimi mendakwa dia turun terlebih dahulu bagi meninjau laluan sambil menunggu arwah di laluan di bawah.
Semasa turun ke bawah perlahan-lahan, dia dapat melihat lampu yang digunakan arwah bergerak menuruni puncak Gunung Liang yang ketika itu hujan lebat dan cuaca sejuk.
“Saya yakin arwah dapat turun tanpa sebarang masalah. Pada masa sama saya berusaha mencari kawasan terdapat talian telefon untuk menghubungi seorang lagi MGP dan penganjur.
“Saya tidak menolak kemungkinan arwah naik semula ke puncak Gunung Liang selepas beberapa meter turun, saya tidak lagi mampu berpatah balik mencari arwah disebabkan terlalu penat selain kecederaan jari kaki hingga terpaksa menggunakan selipar untuk meneruskan perjalanan.
“Saya tidak menyangka perkara buruk boleh berlaku, kegembiraan berjaya menawan puncak Gunung Liang bertukar jadi sejarah hitam dalam hidup saya selepas dua tahun sebagai MGP dan lebih 10 tahun dalam aktiviti pendakian,” katanya.
Memetik Harian Metro lagi, Rahimi mendakwa menerima bayaran RM850 daripada penganjur yang menetapkan cuma tiga hari ekspedisi. Namun tempoh itu berlarutan menjadi lima hari.