Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari menyatakan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) ditahan susulan insiden lelaki ditemukan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Liang di Muallim, Tanjong Malim baru-baru ini.
Memetik Harian Metro, penahanan dua individu berusia 40-an itu dilakukan polis sebaik menerima laporan dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit membabitkan sempadan Perak.
Baca Juga:
- ‘Indonesia Perlu Contohi’ – 5 Perkara Ini Buat Pendaki Indo Kagum Dengan Pengurusan Gunung Malaysia

- Pelancong Brazil Jatuh Di Gunung Berapi Indonesia

- Gunung Rinjani Kena ‘Rating’ 1 Di Google Selepas Insiden Rakyat Malaysia Dan Brazil Jatuh

Kumpulan pendaki yang dibimbing oleh dua malim gunung terbabit hanya memperoleh permit memasuki hutan simpan dari Jabatan Perhutanan Negeri Pahang kerana memulakan pendakian dari kawasan Bentong, Pahang.
“Kumpulan pendaki ini naik daripada sebelah Pahang di Bentong namun mereka turun di sebelah Perak di daerah Muallim.
“Jadi tangkapan terhadap dua malim gunung ini kerana mereka ada permit memasuki hutan simpan semasa di kawasan Pahang namun sebaliknya mereka turun dan memasuki kawasan hutan simpan di Perak iaitu sebelah Muallim.
“Jadi mereka memasuki kawasan hutan simpan di Perak tanpa permit. Tangkapan dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak atas kesalahan memasuki atau berada di kawasan hutan simpan tanpa permit atau kelulusan yang sah,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua malim gunung bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis, dengan siasatan dijalankan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.
“Sepatutnya mereka turun di daerah yang sama tempat mereka naik untuk ianya tak menjadi kesalahan, tetapi bila kumpulan itu turun di sebelah Muallim (Perak), maka mereka dikira memasuki kawasan hutan simpan tanpa permit,” katanya.