Berkenaan kematian Mustaqqeem Mansoor, 34, di puncak Gunung Liang, Muallim semalam, rakan rapat mangsa yang mendaki bersamanya berkongsi tentang tindakan awal yang diambil olehnya dan seorang lagi pendaki untuk mencari Allahyarham.
Muhammad Hafidz Mohd Kamal, 36, menyatakan bahawa kejadian itu bermula sejurus mereka melepasi ‘checkpoint’ Kem Iguana dalam usaha meneruskan pendakian ke puncak Gung Liang. Mereka sempat membantu Allahyarham dengan membawa barangannya yang tidak penting, seperti pakaian kotor dan basah menurut Berita Harian.

Menurut beliau, tindakan itu diambil bagi meringankan beban yang dipikul selepas Allahyarham mengadu sakit kaki ketika kumpulan pendaki mereka berpecah kepada dua kumpulan di Kem Batu Tenggek.
“Saya meneruskan pendakian ke puncak dan berhasrat menunggu Mustaqqeem di sana, tetapi selepas lama menunggu, Allahyarham tidak muncul.
“Kami dapati Allahyarham berada di belakang bersama malim gunung yang berperanan sebagai ‘sweeper’ (anggota belakang),” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Slim River, di sini hari ini.

Di puncak, Muhammad Hafidz berkumpul semula dengan pendaki lain dan pada asalnya ingin tidur di situ. Namun, kerana cuaca yang mula merisaukan seperti hendak ribut, beliau dan rakan-rakan membuat keputusan untuk bergerak turun ke Kem 7E dan terpaksa menunggu di sana selama kira-kira tiga jam.
“Ketika di Kem 7E, saya dan seorang rakan dikenali sebagai Romandi menghubungi ‘sweeper’ yang bersama Mustaqqeem menggunakan ‘walkie talkie’, tetapi isyarat panggilan tidak masuk.
“Memang kami agak risau, selepas itu kami turun ke Kem Lubuk Hantu dan di situ juga kami tunggu dalam tiga jam,” katanya.
Menurutnya, kumpulan pendaki selain Mustaqqeem telah sampai di garisan penamat di kaki gunung seawal jam 6.30 pagi Rabu. Kerana Mustaqqeem masih tidak kelihatan meskipun telah ditunggu sehingga jam 8 pagi, beliau dan Rafiq, rakan mereka, memutuskan untuk memulakan usaha mencari Allahyarham secara sendiri.
“Pada 9 pagi Rabu, kami membeli bekalan makanan dan mendaki semula tanpa bantuan ‘guide’, saya masuk semula ke pintu masuk trek jam 12.45 tengah Rabu dan terserempak dengan ‘sweeper’.
“Namun, ‘sweeper’ hanya memaklumkan Mustaqqeem sedang cuba menuruni gunung dan berada dalam keadaan ‘okey’,” katanya.
Muhammad Hafidz berkata, beliau dan Rafiq menyambung pendakian untuk mencari Mustaqqeem, dengan anggapan Mustaqqeem berada di Kem 7E atau kawasan berair di Kem Lubuk Hantu. Menurutnya, Rafiq mencari di Lubuk Hantu manakala beliau meneruskan ke Kem 7E. “Namun, saya terpaksa berpatah balik kira-kira jam 6 petang disebabkan ribut,” jelasnya.
Rafiq pula menafikan tuduhan bahawa kematian Allahyarham Mustaqqeem berpunca daripada tindakan rakan-rakan yang meninggalkannya. Beliau berkata, “Dalam pendakian, konsep ‘tinggal atau tak tinggal’ tidak berlaku. Jika seseorang bergerak ke depan, ada pendaki lain yang akan menanti dalam jangka masa yang ditetapkan.”
Justeru, “Kami menafikan dakwaan Mustaqqeem ditinggalkan secara sewenang-wenangnya, kerana kami sendiri telah melakukan usaha awal,” tambahnya.