Kerajaan mengambil langkah tegas dalam membendung penipuan dalam talian dan melindungi pengguna internet dengan penguatkuasaan Kod Mitigasi Risiko (RMC) serta Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC).
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, langkah-langkah baharu ini akan mula berkuat kuasa pada Isnin, 1 Jun di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), petik The Star.
Pelaksanaan perundangan ini akan dikenakan ke atas penyedia platform media sosial yang diklasifikasikan sebagai pemegang lesen, khususnya platform yang mempunyai lebih daripada lapan juta pengguna di Malaysia.
Sahkan Identiti Dulu Sebelum Beriklan
Salah satu inisiatif utama di bawah RMC adalah mewajibkan pengesahan identiti bagi semua pengiklan yang menggunakan hantaran iklan tajaan di platform media sosial.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menetapkan bahawa setiap pengiklan, tidak kira sama ada ia adalah individu mahupun entiti yang berdaftar, mesti menjalani proses pengesahan identiti oleh pihak platform sebelum iklan mereka dibenarkan untuk disiarkan.
Langkah ini disasarkan secara khusus untuk mengekang aktiviti perjudian digital dan menghalang penyalahgunaan identiti individu terkemuka.
Sebelum ini, pihak berkuasa mendapati amat sukar untuk mengambil tindakan terhadap hantaran tajaan yang mempromosikan pelaburan meragukan, penipuan kewangan, dan perjudian dalam talian kerana identiti sebenar pihak yang menaja iklan tersebut gagal dikesan.
Selain itu, aspek perlindungan turut diperluaskan dengan pelaksanaan mekanisme pengesahan umur yang akan berkuat kuasa untuk menghalang individu di bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun media sosial.
Bagi memenuhi tujuan pendaftaran, pihak platform akan mewajibkan pengguna untuk menyediakan dokumen rasmi seperti kad pengenalan atau pasport.
Usaha keselamatan ini telah mendapat sokongan yang kukuh daripada majoriti ibu bapa.
Pihak ibu bapa amat menyokong inisiatif ini kerana mereka cukup prihatin terhadap pelbagai ancaman di internet yang menyasarkan kanak-kanak, seperti buli siber, penderaan seksual, dan pengantunan kanak-kanak (child grooming).
Sehubungan dengan itu, semua penyedia platform media sosial diseru untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi mematuhi ketetapan RMC dan CPC ini bagi menjamin tahap keselamatan semua pengguna internet.
Pihak kerajaan berjanji akan memberikan tempoh masa yang munasabah kepada penyedia platform untuk memenuhi tanggungjawab baharu tersebut, namun tahap pematuhan yang tinggi adalah amat diharapkan