Baru-baru ini, tular insiden yang menimpa sebuah keluarga apabila mereka diarahkan keluar daripada penerbangan AirAsia dari Singapura ke Kuching pada 26 Mei lalu.

Peristiwa yang berlaku pada musim cuti Aidiladha itu berpunca daripada isu teknikal yang membabitkan kebenaran penggunaan kerusi khas untuk menyokong keadaan fizikal seorang penumpang cilik, Zara, yang menghidap Cerebral Palsy.

Menyedari kesulitan yang berlaku, pihak AirAsia telah tampil memohon maaf secara terbuka dan mengambil langkah positif dengan memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang lebih mesra serta inklusif untuk tetamu berkeperluan khas.

Ruang Untuk Penambahbaikan

Selepas semakan menyeluruh dijalankan terhadap penerbangan AK 1776 tersebut, pihak pengurusan penerbangan tidak mengambil masa yang lama untuk merangka jalan penyelesaian.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Pegawai Keselamatan dan Kualiti AirAsia X (Kumpulan AirAsia), Kapten Saravanan Subramaniam, mewakili pihak syarikat menzahirkan rasa kesal atas segala kepayahan yang dialami oleh keluarga terbabit.

Menurut beliau lagi, SOP baharu yang telah dipertingkatkan itu kini sudah pun dikemukakan kepada pihak berkuasa untuk mendapat kelulusan rasmi.

“Walaupun keputusan dibuat selaras dengan keperluan keselamatan dan prosedur operasi yang berkuat kuasa pada masa itu, ia tidak pernah menjadi niat kami untuk menghalang mana-mana tetamu daripada melakukan perjalanan,” jelas Kapten Saravanan.

Beliau turut menambah, “Insiden ini membuka peluang untuk kami meningkatkan proses bagi menyokong tetamu yang mempunyai keperluan khusus dengan lebih baik.”

Kemenangan Manis Buat Hak Asasi

Bagi penumpang yang terkesan iaitu ibu kepada Zara, Syarifah Ella Wan Wahab, insiden yang pada mulanya mengecewakan ini akhirnya membuahkan hasil yang sangat bermakna dan disifatkan sebagai satu kemenangan besar buat agenda keterangkuman.

Menerusi hantarannya di aplikasi Threads, beliau mengesahkan pihak keluarga telah menerima permohonan maaf secara rasmi, bayaran balik penuh, berserta tawaran penerbangan percuma sebagai tanda ihsan daripada pihak AirAsia.

Pencapaian paling besar melalui luahannya sebelum ini adalah perubahan dasar yang melibatkan Alat Penahan Kanak-Kanak (CRD).

Jika sebelum ini dasar sedia ada hanya terpakai untuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga tiga tahun dengan had berat maksimum 18 kilogram, kelulusan terbaharu ini membenarkan penggunaan CRD bagi individu berusia enam bulan ke atas.

Ini termasuk penumpang berkeperluan khas tanpa terikat kepada had umur atau berat semata-mata, tertakluk kepada arahan pengilang.

“Saya amat menghargai kesediaan yang ditunjukkan untuk mendengar dan mengambil langkah membina. Aksesibiliti dan keterangkuman bukanlah keistimewaan khas, ia adalah hak asasi,” luah Syarifah Ella penuh rasa syukur.

Beliau yang berharap agar SOP baharu ini akan dipaparkan di laman sesawang AirAsia kelak turut menyatakan, “Jika perjalanan kami menyumbang ke arah memastikan kanak-kanak kurang upaya lain dapat menaiki penerbangan dengan maruah, ia telah memenuhi tujuan yang jauh lebih besar.”