Siapa sangka, insiden kehilangan seorang pendaki wanita di Gunung Batu Putih akhirnya membuka mata banyak pihak terhadap realiti kehidupan masyarakat pedalaman.

Kisah penemuan Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat pada petang Sabtu lalu bukan sahaja menamatkan debaran seluruh rakyat Malaysia, tetapi turut menjulang nama sebuah jambatan kayu usang di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Tapah.

Menariknya, lokasi tepat Jaslinda ditemui—sebuah jambatan sejauh 50 meter yang dibina sekadar menggunakan kayu dan buluh kini tular dan mendapat perhatian serius daripada kerajaan negeri!

Rintihan Penduduk Didengari

Paparan video lokasi penemuan yang disiarkan di media sosial baru-baru ini mengundang sebak dan simpati ramai. Rata-rata netizen mula bersuara, mengharapkan agar penduduk di kawasan itu mendapat kemudahan jambatan yang lebih selamat dan kukuh.

Mendengar denyut nadi rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang, Choong Shin Heng pantas memberikan respons. Beliau menyatakan komitmen untuk turun padang dan meninjau sendiri struktur jambatan yang kelihatan uzur itu.

“Saya akan turun ke kampung itu dalam sehari dua ini untuk melihat sendiri keadaan jambatan dan berbincang dengan Tok Batin mengenai keperluan sebenar penduduk,” kata beliau dengan penuh kesungguhan lapor Sinar Harian.

Tambahnya lagi, jika ada keperluan mendesak, permohonan untuk pembinaan jambatan baharu akan segera diusahakan demi keselesaan penduduk.

“Kalau keperluan itu ada, memang saya akan usahakan. Cuma saya mahu berbincang terlebih dahulu dengan Tok Batin untuk mendapatkan gambaran menyeluruh,” ujarnya lagi.

“Dulu Terpaksa Redah Sungai…”

Bagi penduduk suku Semai di situ, jambatan tersebut ibarat ‘nadi’ mereka. Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu, Mohd Asmadi Abdullah berkongsi kisah jerih perih penduduk sebelum jambatan itu dibina secara bergotong-royong dua tahun lalu.

“Dulu, penduduk terpaksa menyeberangi sungai meredah arus. Sekarang, inilah laluan utama bagi lebih 100 keluarga di sini untuk ke kebun dan hutan mencari sumber rezeki,” kongsinya.

Meskipun serba kekurangan, jambatan asas binaan papan dan buluh itulah yang banyak berjasa menampung langkah mereka setiap hari.

Detik Penemuan yang Penuh Magis

Mengimbas kembali detik penemuan pada Sabtu sekitar jam 5.10 petang itu, dua penduduk tempatan iaitu Nazri Bah Eng, 55, dan Bah Roslan Bah Sulpok, 51, sedang santai memancing. Tiba-tiba, mata mereka terpandang kelibat seorang wanita berjalan bersendirian meniti jambatan usang tersebut.

Rupa-rupanya, wanita itu adalah Jaslinda yang telah dilaporkan hilang sejak 23 Mei lalu! Selepas berhari-hari sesat di dalam hutan, langkah kakinya akhirnya dipandu ke jambatan kecil yang penuh bermakna ini.

Bak kata pepatah, *ada hikmah di sebalik ujian*. Kehilangan Jaslinda bukan sahaja berakhir dengan kelegaan buat keluarganya, malah ia seakan-akan menjadi ‘asbab’ untuk nasib lebih 100 keluarga Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu terbela.

Semoga impian mereka untuk memiliki jambatan yang lebih selamat dan selesa bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi!