Bil subsidi bahan api bulanan Malaysia pernah melonjak sehingga RM7.5 bilion pada satu ketika dalam bulan April lalu, petik The Star.

Lonjakan drastik ini didorong oleh ketegangan geopolitik di Asia Barat yang mengakibatkan kenaikan harga minyak global serta meningkatkan kebimbangan terhadap rantaian bekalan tenaga.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan bahawa bil subsidi berkenaan menunjukkan peningkatan yang mendadak pada awal tahun ini.

Menurut beliau, jumlah tersebut meningkat daripada sekitar RM700 juta sebulan pada Januari dan Februari, sebelum melonjak kepada RM5 bilion pada Mac dan mencapai kemuncaknya pada April.

Bagaimanapun, jumlah itu kini kembali menyederhana berikutan penurunan harga minyak mentah dunia.

“Namun kini, dengan harga yang semakin turun dan menyederhana, kita mungkin melihat kos subsidi berada sekitar RM3.5 bilion hingga RM4 bilion,” katanya semasa sesi panel di forum Invest Malaysia 2026 baru-baru ini.

Kepentingan Jaminan Bekalan Tenaga

Memetik laporan itu lagi, Amir Hamzah menegaskan bahawa keutamaan segera kerajaan buat masa ini adalah untuk memastikan bekalan bahan api negara sentiasa mencukupi dan tidak terputus bagi menyokong kelangsungan ekonomi domestik.

“Ekonomi tidak boleh berfungsi jika tiada bekalan,” jelas beliau.

Beliau turut menarik perhatian bahawa Malaysia setakat ini berjaya mengelakkan sebarang gangguan bekalan yang serius.

Faktor utama kejayaan ini adalah kerana kedudukan Malaysia sebagai negara pengeksport bersih tenaga.

Selain itu, institusi nasional dan syarikat minyak tempatan juga memainkan peranan penting dengan memanfaatkan rangkaian global mereka bagi menjamin bekalan yang berterusan.

Impak Positif Reformasi Struktur Fiskal

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa langkah-langkah reformasi struktur yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah membuahkan hasil.

Reformasi tersebut berjaya memperkukuh keupayaan negara untuk bertahan daripada kejutan luaran dan menguruskan peningkatan kos subsidi dengan lebih efisien.

“Tanpa reformasi berkenaan, kerajaan berkemungkinan terpaksa berdepan dengan kos subsidi yang jauh lebih tinggi, mencecah melebihi RM10 bilion,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, kerajaan sentiasa komited dalam mengimbangi kemampanan fiskal negara melalui langkah-langkah bersasar bagi melindungi kumpulan rentan dan mengekalkan momentum aktiviti ekonomi.

Pada masa yang sama, semua kementerian turut mengamalkan budaya perbelanjaan yang lebih cekap dan berhemat bagi membantu mengurus kewangan awam dengan lebih baik.

Tekanan Subsidi Mula Reda

Ketika ditemui pemberita selepas sesi tersebut, Amir Hamzah memaklumkan bahawa tekanan terhadap perbelanjaan subsidi negara kini mula berkurangan ekoran harga minyak global yang semakin menyusut daripada paras tertinggi sebelum ini.

Beliau menyatakan bahawa harga minyak dunia telah menurun daripada sekitar US$120 setong kepada lingkungan antara US$90 dan US$98 setong pada bulan ini, sekali gus meringankan beban kewangan kerajaan.

Mengulas mengenai struktur bantuan semasa, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengekalkan kuota sedia ada serta harga bahan api bersubsidi di bawah program bantuan subsidi bahan api BUDI MADANI bagi memastikan golongan yang layak terus dilindungi, petik The Star.

Sumber