England hari ini gagal mempamerkan ketajaman yang ditunjukkan ketika membelasah Croatia 4-2 apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Ghana dalam aksi Kumpulan L Piala Dunia 2026 di Boston.
Perlawanan yang disifatkan sebagai ujian taktikal buat skuad kendalian Thomas Tuchel itu menyaksikan Ghana tampil dengan pendekatan lebih berhati-hati dan berdisiplin.
Pasukan bimbingan Carlos Queiroz bertahan dengan cukup kemas sehingga menyukarkan England mencipta peluang berkualiti sepanjang 90 minit.
England menguasai sebahagian besar permainan menerusi gandingan Jude Bellingham, Declan Rice dan Elliot Anderson di bahagian tengah, namun sering menemui jalan buntu apabila memasuki kawasan serangan.
Malah, babak pertama berlangsung dalam tempo yang perlahan dengan kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat ke sasaran.
Menyedari pasukannya memerlukan suntikan kreativiti, Tuchel memasukkan Bukayo Saka, Marcus Rashford dan Eberechi Eze pada separuh masa kedua.
Pertukaran tersebut meningkatkan intensiti serangan England, namun Ghana tetap bertahan dengan penuh disiplin sambil sesekali mengancam menerusi serangan balas yang diketuai Antoine Semenyo dan Inaki Williams.
Peluang terbaik England hadir pada penghujung perlawanan. Tandukan Marc Guehi yang menewaskan penjaga gol Ghana berjaya dikeluarkan di atas garisan gol, sebelum rembatan Nico O’Reilly pula terkena palang.
Ia menjadi simbol kepada malam yang mengecewakan buat Three Lions yang gagal memecahkan benteng lawan meskipun menguasai permainan.
Terdapat juga detik kontroversi apabila penjaga gol England, Jordan Pickford, bertembung dengan pemain gantian Ghana, Prince Adu, di luar kawasan penalti. Namun semakan VAR memutuskan tiada kesalahan dilakukan dan permainan diteruskan.
Keputusan seri 0-0 itu menyaksikan England masih berada dalam kedudukan baik untuk mara ke pusingan kalah mati, namun mereka perlu meningkatkan ketajaman serangan menjelang perlawanan seterusnya.
🏴 Harry Kane: 90 minutes pic.twitter.com/8TURM8ycKo
— Bayern & Germany (@iMiaSanMia) June 23, 2026
Bagi Ghana pula, satu mata berharga ini mengekalkan harapan mereka untuk melangkah ke pusingan 32 pasukan terbaik buat kali pertama sejak 2010.