Kerajaan sedang menyemak semula kadar gaji minimum RM1,700, dengan keputusan akhir sama ada untuk mengekalkan atau menaikkan jumlah tersebut bakal dibuat oleh Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

Menteri Sumber Manusia, R Ramanan berkata semakan itu akan mempertimbangkan petunjuk asas ekonomi seperti garis kemiskinan dan gaji penengah bagi mengukur keperluan asas pekerja serta keupayaan kewangan majikan, petik Free Malaysia Today.

Beliau berkata semakan berkenaan juga akan mengambil kira kadar inflasi, produktiviti buruh, dan kadar pengangguran, lapor Utusan Malaysia.

Kementerian belum menjalankan sebarang kajian khusus mengenai gaji wajar (living wage), walaupun Bank Negara Malaysia telah memperkenalkan konsep tersebut pada tahun 2018 dengan menganggarkan gaji wajar di Kuala Lumpur, sebagai contoh, adalah RM2,700 bagi seorang individu bujang.

“Perbelanjaan asas kehidupan wajar oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menyediakan ukuran yang lebih mendalam berbanding mengikut lokasi, demografi, dan corak perbelanjaan sebenar isi rumah.

“Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) juga menggariskan reformasi pasaran buruh yang strategik, termasuk memacu pelarasan gaji menerusi semakan gaji minimum yang mengambil kira gaji wajar,” kata beliau seperti yang dilaporkan.

Gaji minimum RM1,700 telah berkuat kuasa sejak Ogos 2025 dan terpakai kepada semua pekerja di Malaysia kecuali pekerja domestik dan pelatih (aprentis).