Hari terakhir operasi Kafe Secangkir semalam meninggalkan seribu satu kenangan bermakna buat keluarga Allahyarham Nur Atiqah Sofiya.
Kafe yang diusahakan oleh arwah sebelum ini terpaksa ditutup selepas pemergiannya bersama suami dan anak tercinta dalam kemalangan tragis membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Isnin lalu.
Menurut abang arwah, Mohd Hafiz Rifqi Mohd Kazwan, 33, sambutan yang diterima pada hari terakhir itu sangat luar biasa.
Bukan sekadar datang untuk mendapatkan makanan, ramai pelanggan hadir untuk memberi sokongan moral kepada keluarga mereka.
Rezeki Sambil Bersedekah
“Ada yang tak minta baki duit, ada yang bagi terus sebagai sedekah. Saya sangat hargai, ramai yang bersedekah masa membeli,” kongsinya dengan nada terharu lapor Harian Metro.
Beliau turut menceritakan bagaimana ada pelanggan bermurah hati membayar RM100 untuk bil makanan yang hanya bernilai RM20, tanpa meminta sebarang baki.
Kisah duka yang menimpa keluarga ini nyata menyentuh hati ramai pihak.
Malah, ada pelanggan yang sanggup memandu jauh dari Ampang, Selangor semata-mata untuk melihat sendiri kafe tersebut dan memberikan kata-kata semangat.
Ada juga yang hadir sekadar mahu merakamkan gambar kenangan dan berkongsi rasa sedih bersama keluarga.
Rezeki Terakhir Untuk Selesaikan Amanah
Sepanjang operasi dari jam 3 petang hingga 7.30 malam, sebanyak 100 potong kek telah habis terjual dalam masa 30 minit sahaja selepas kafe dibuka.
Hasil jualan kek dan kopi sekitar RM4,000, jualan makanan di luar premis lebih RM1,000, serta sumbangan ikhlas orang ramai telah membolehkan keluarga ini mengumpul dana sebanyak RM9,000.
“Kami tak ada sasar apa-apa pun, memang masa itu niat nak habiskan sahaja,” jelas Hafiz. Beliau menambah, wang tersebut akan digunakan sebaiknya untuk menyelesaikan segala hutang arwah, termasuklah bayaran kepada pihak pembekal. Baki kewangan juga akan diagihkan untuk membayar gaji dua orang pekerja yang masih berkhidmat, berserta pampasan bersamaan sebulan gaji buat mereka.
“Sekarang kita kena selesaikan apa-apa hutang yang ada. Selepas selesaikan semua, dah tak ada hutang apa-apa, baru kita melalui proses lain,” katanya.
Bukan Niat Mengambil Kesempatan
Bagi menutup lembaran kisah di media sosial, Hafiz merancang untuk membuat satu hantaran terakhir sebagai tanda penghargaan buat semua yang menyokong.
“Alhamdulillah, saya sangat hargai semua yang datang, sangat terharu. Insya-Allah selepas ini, saya akan buat hantaran terakhir di media sosial. Kami pun tidak berminat untuk ‘menunggang’ apa yang berlaku ini, cukuplah. Terima kasih kepada semua,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Allahyarham Nur Atiqah, 32, suaminya Muhammad Nazatul Nazmi, 32, dan anak mereka Muhammad Armaan Nazeef, 4, telah selamat disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Setali, Selasa lalu.
Pemergian mereka pastinya sentiasa dirindui, namun kenangan manis peninggalan arwah di Kafe Secangkir akan terus mekar dalam ingatan.