Satu perkhabaran duka buat peminat dan pelanggan setia Secangkir Cafe. Baru-baru ini, pihak keluarga terutama abang kepada arwah pemilik kafe tersebut telah berkongsi satu pengumuman yang berat untuk diterima ramai.

Menerusi hantaran di laman sosial Threads, beliau mengesahkan bahawa operasi kafe kesayangan ramai itu tidak akan diteruskan lagi.

Hilang Seri Dan Tiada Kepakaran

Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah buat ahli keluarga. Menurut abang arwah, ketiadaan adiknya iaitu Sofiya, bermakna nyawa dan roh kafe tersebut turut sama pergi.

“Sayang seribu kali sayang, tapi terpaksa juga kerana nyawa dan roh di cafe tersebut sudah tiada,” luahnya menerusi hantaran tersebut. Tambahan pula, pihak keluarga mengakui mereka tidak mempunyai kepakaran untuk menghasilkan semula kek hasil air tangan arwah yang sentiasa unik dan berbeza pada setiap minggu.

Hari Terakhir Buat Pelanggan

Sebagai tanda penghargaan buat mereka yang tidak putus-putus menyokong, Secangkir Cafe akan dibuka buat kali terakhir.

Orang ramai dijemput hadir pada hari Jumaat, 4 September bermula dari jam 3 petang sehingga 9 malam sahaja. Ini adalah peluang terakhir untuk pelanggan mengimbau kenangan dan menikmati suasana di ruang kafe tersebut sebelum ia melabuhkan tirai sepenuhnya.

Had Pembelian Dan Lelongan Barang

Untuk hari terakhir ini, pihak keluarga hanya memfokuskan kepada jualan kopi dan kek sahaja.

Memandangkan stok adalah terhad, mereka terpaksa menetapkan syarat pembelian agar semua orang merasa. Setiap pelanggan hanya dibenarkan membeli satu potong kek, manakala jualan kopi pula dihadkan kepada 300 cawan.

Selain itu, segala perkakasan dan baki stok kedai akan dilelong kelak kepada sesiapa yang berminat.

Niat Suci Melunaskan Tanggungjawab

Terdapat niat yang sangat mulia di sebalik jualan hari terakhir dan lelongan barang ini.

Menurut abangnya, segala hasil pendapatan akan dikumpul dan digunakan khusus untuk menyelesaikan apa-apa hutang atau tunggakan arwah adiknya jika ada. Ini adalah satu usaha murni keluarga untuk memastikan urusan arwah di sana dipermudahkan dan berjalan lancar.

Walaupun keputusan ini sangat berat, ahli keluarga percaya ini adalah jalan yang terbaik buat masa ini. Mereka merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang pernah menyokong jatuh bangun Secangkir Cafe dari hari pertama ia beroperasi

Legasi arwah Sofiya pasti akan terus kekal dalam ingatan setiap pelanggan yang pernah menikmati kemanisan hidangan di situ.