Projek akhir tahun pelajar Universiti Multimedia Cyberjaya (MMU) mendapat perhatian warganet selepas memperlihatkan filem animasi pendek bergenre seram yang berkualiti.

Filem animasi 2 dimensi (2D) itu meneroka tema cerita rakyat seram Malaysia serta amalan ilmu hitam.

Apa yang mencuri perhatian warganet adalah kualiti animasi dan audio yang seolah-olah dibuat oleh produksi animasi profesional, bukan projek akhir tahun pelajar universiti.

“Wah bangganya masih ada orang-orang berbakat macam ini dekat Malaysia. Semoga maju jaya ya semua yang terlibat dengan animasi ini.

“10 minit yang terbaik. Masa depan animasi 2D Malaysia sangat cerah.

“Dah patut ada syarikat macam Cartoon Network tempatan untuk semua juruanimasi bertapak dan bina projek masing-masing.

“Ia mungkin angan-angan, tetapi dengan karya yang mengagumkan seperti ini, saya berharap akan ada masanya kita dapat melihat Malaysia yang kaya dengan seni animasi dan pembuatan filemnya,” puji netizen.

Waris mengisahkan Aris, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang mempunyai deria keenam. Dia perlu berhadapan dengan pengamal sihir di sebuah gerai tepi jalan ketika bersama bapanya untuk makan malam.

Anda boleh tonton filem animasi pendek kreatif yang dihasilkan kumpulan pelajar MMU itu di bawah.