Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan pengadil yang tidak memberikan sepakan penalti kepada pasukannya ketika tewas 0-1 kepada Arsenal di Anfield.
Liverpool merasakan mereka sepatutnya mendapat sepakan penalti selepas pertahanan Arsenal, Jurrien Timber, menarik jersi Alexander Isak ketika penyerang itu cuba mendapatkan bola di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, pengadil tidak memberikan penalti selepas insiden tersebut diperiksa oleh Video Assistant Referee (VAR).
Van Dijk kemudian mempersoalkan bagaimana VAR boleh terlepas pandang insiden tersebut sedangkan terdapat begitu banyak kamera yang merakam perlawanan.
“Saya berpendapat itu penalti yang sangat jelas. Saya sudah tengok balik rakamannya.
“Saya pernah tengok keadaan serupa diberikan penalti dalam perlawanan lain, namun hari ini sebaliknya.
“VAR tidak nampakkah perkara itu? Ada 50 kamera. Jadi, kenapa pemain sendiri perlu membuat aduan sedangkan terdapat begitu banyak kamera?
“Semua orang nampak perkara itu, tetapi akhirnya pengadil tetap tidak memberikannya.
“Tahniah kepada Arsenal,” katanya.
Kekalahan tersebut menyaksikan Liverpool gagal memanfaatkan peluang di laman sendiri, manakala Arsenal pulang dengan tiga mata hasil kemenangan 1-0 menerusi jaringan Kai Havertz.
Kemenangan itu turut membolehkan Arsenal melebarkan jurang di puncak Liga Perdana Inggeris.