China meneruskan tindakan boikot terhadap Real Madrid dan bintang utamanya, Kylian Mbappe apabila penyiar televisyen negara itu tidak menyiarkan sebarang perlawanan La Liga sepanjang hujung minggu lalu.

Keputusan itu menyaksikan peminat bola sepak di China tidak dapat menyaksikan aksi liga Sepanyol menerusi saluran televisyen milik kerajaan, CCTV, selepas badan penyiaran berkenaan menggantung siaran pertandingan itu sejak Isnin lalu.

Lebih menarik, tindakan tersebut tetap diteruskan meskipun Mbappe, Real Madrid dan La Liga sudah mengeluarkan permohonan maaf berhubung kontroversi yang tercetus sebelum ini.

Kontroversi ini bermula selepas Mbappe dalam satu temu bual menceritakan meme internet yang dianggapnya paling lucu. Meme tersebut memaparkan wajahnya disunting pada gambar bekas pemimpin China, Mao Zedong.

Mbappe kemudian menyifatkan individu dalam meme itu sebagai seorang diktator China. Kenyataannya mencetuskan kemarahan ramai pihak di China kerana Mao merupakan tokoh sensitif dalam sejarah negara tersebut.

Susulan itu, China Media Group (CMG), badan yang mengawasi CCTV, mengumumkan penggantungan siaran La Liga. Mereka sebelum ini menegaskan permohonan maaf daripada Mbappe, Real Madrid dan La Liga merupakan prasyarat untuk meredakan kontroversi berkenaan.

Walaupun ketiga-tiga pihak sudah memohon maaf, CCTV tetap tidak menyiarkan sebarang perlawanan La Liga sepanjang hujung minggu lalu.

Malah, perlawanan Real Madrid menentang Racing Santander yang berakhir dengan kemenangan 3-0 buat Los Blancos pada Ahad turut tidak disiarkan.

Platform penstriman Migu yang menjadi rakan digital eksklusif La Liga di China pula masih menyiarkan kebanyakan perlawanan lain, termasuk kemenangan Barcelona 6-1 ke atas Deportivo Alaves. Namun, aksi Real Madrid tidak disenaraikan dalam jadual siaran mereka.

Setakat ini, pihak berkuasa penyiaran China masih belum mengumumkan bila sekatan siaran tersebut akan ditarik balik.