Legenda Perancis, Emmanuel Petit berpendapat bahawa pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti dan segelintir pemain Los Blancos sebenarnya tidak bersetuju dengan kehadiran bintang dunia, Kylian Mbappe ke kelab tersebut.
Mbappe diperkenalkan sebagai rekrut baharu Real Madrid pada 16 Julai lalu secara percuma dan diberikan jersi bernombor ‘9’.
Baca Juga:
- Mbappe Sekali Lagi Tak Dipilih Sertai Skuad Perancis
- Adik Mbappe Menangis Selepas Nasser Al Khelaifi Arahkan Enrique Sisihkan Namanya
- PSG Tetap Enggan Bayar Tunggakan Gaji Mbappe, Mahu Bawa Kes Ke Mahkamah
Dapat selepas mengharungi 16 perlawanan bersama kelab tersebut, Mbappe dilihat seperti bergelut untuk membuktikan kemampuan hebatnya seperti ketika bersama Paris Saint-Germain (PSG).
Walaupun berjaya menjaringkan lapan gol dan mencipta dua bantuan jaringan, Mbappe seolah-olah berdepan kesukaran untuk memainkan peranan sebagai penyerang.
Hal ini kerana beliau lebih gemar beraksi selaku sayap kiri tetapi posisi tersebut sudah diisi oleh seorang lagi bintang pasukan iaitu Vinicius Jr.
Malah, Ancelotti juga dikatakan lebih berminat untuk meletakkan Vinicius Jr sebagai pemain sayap kiri berbanding Mbappe.
Sehubungan dengan itu, Petit yang berpengalaman beraksi dalam saingan LaLiga bersama Barcelona merasakan khidmat Mbappe tidak begitu diperlukan oleh Ancelotti.
“Saya pasti Carlo Ancelotti dan beberapa pemain Real Madrid tidak mahu kelab menandatangani Kylian Mbappe pada musim panas.”
“Ini adalah bilik persalinan yang baru sahaja memenangi La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah, dan kedatangannya hanya membawa masalah,” ujar Petit menurut sumber laporan Goal.
“Ancelotti berada di puncak dunia selepas memenangi Liga Juara-Juara dan saya rasa dia lebih suka jika dua atau tiga pemain sahaja yang masuk ke dalam skuadnya, tetapi tiada perubahan besar.”
“Apabila anda memenangi trofi besar, anda membina kegembiraa dan membawa masuk ego besar yang mengubah segalanya.”
“Masalah terbesar bagi Mbappe adalah memiliki dua rakan sepasukan yang juga ingin menjadi bintang utama dan ingin memenangi Ballon d’Or iaitu Jude Bellingham dan Vinicius Jr.”
“Masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada Kylian Mbappe akan lebih baik jika menyertai Liverpool, dia hanya perlu menunjukkan bahawa dia mempunyai sifat dan kekuatan mental untuk membetulkan keadaan.”
“Dia perlu menunjukkan bahawa dia boleh mempunyai mentaliti yang sekuat Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo untuk mencari konsistensinya, dia perlu menunjukkan bahawa dia mempunyai karakter dan personaliti yang sebenar di atas padang.”