Bayangkan jika anda memiliki wang tunai sebanyak RM125,000 di tangan, apa perkara pertama yang terlintas di fikiran untuk dibelanjakan?
Bagi kebanyakan orang, jumlah sebesar itu mungkin digunakan untuk melunaskan bayaran muka rumah idaman, membeli kereta baharu, melabur dalam akaun simpanan, atau membeli sebidang tanah.
Namun bagi seorang anak jati Kampung Langkap Baru, Setiu, Terengganu yang dikenali sebagai Peja Langkap, beliau memilih jalan yang sama sekali di luar kotak pemikiran biasa.

Awal bulan lalu, dunia penternakan tanah air dikejutkan apabila beliau nekad membawa pulang seekor ayam jantan baka pama dari Songkhla, Thailand dengan bayaran tunai berjumlah RM125,000.
Transaksi bernilai luar biasa ini meletakkan ayam tersebut sebagai ayam termahal yang pernah dibeli dan berada di Malaysia setakat ini.
Tuah Jongkong Emas Dan Keputusan Nekad

Ayam baka pama tersebut diberi nama Thong Kham, yang membawa maksud Jongkong Emas dalam bahasa Melayu.
Bukan calang-calang baka, ayam jantan ini memiliki susuk tubuh tegap, berkaki sisik kehijauan yang kuat, serta aura fizikal yang menjadikannya idaman para peminat baka sabung dan baka laga eksklusif.
Langkah mengeluarkan modal ratusan ribu ringgit untuk seekor ayam bukanlah keputusan spontan atau suka-suka. Di sebalik pembelian ini, terselit dilema besar yang dilalui oleh pemiliknya sebelum berani mengambil risiko.
“Saya mengambil masa lebih sebulan berfikir untuk membeli ayam itu maklum lah ia membabitkan jumlah wang yang besar. Semua kawan-kawan menghalang dan tidak bersetuju tetapi untuk kepuasan diri, saya nekad membelinya,” ujar Peja Langkap.
Bagi Peja, nilai tersebut bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya lambang kepuasan terhadap minat mendalam yang sukar diterjemahkan kepada orang luar menurut penulisan akaun FB Kerana Aku Lah Ahmad Itu BLACK.
Suasana Ladang Ala Banglo Di Bukit Tumbuh

Menjejakkan kaki ke Peja Langkap Farm di Kampung Bukit Tumbuh, Terengganu, pandangan skeptikal terhadap penternakan ayam kampung terus lenyap. Persekitaran fasiliti ini memberikan suasana seolah-olah berada di ladang ayam baka terkemuka di Thailand.
Kawasan ladang ini dibina kemas dengan konsep reban ala rumah banglo yang serba lengkap serta dikelilingi pagar batu yang kukuh.
Standard penjagaan rapi dan tersusun ini membuktikan bahawa industri penternakan baka hiasan dan laga tempatan sudah melangkah ke satu tahap yang jauh lebih profesional. Peminat baka import kini tidak perlu lagi merantau jauh ke negara jiran semata-mata untuk melihat fasiliti penternakan moden, kerana Terengganu sendiri sudah memiliki ladang setanding.
Bukan Sekadar Hobi, Ini Pelaburan Bernilai Tinggi
Kehadiran Thong Kham ke Terengganu turut diiringi dengan strategi pembiakbakaan yang teliti.
Selain sang juara bernilai RM125,000 itu, Peja turut membawa masuk beberapa ekor ayam lain termasuk baka induk betina dengan harga kayangan bagi tujuan baka kacukan tulen.
Antara koleksi lain yang ditempatkan di ladang berkenaan termasuklah ayam yang dibeli pada nilai RM26,000, RM15,500, RM13,000, serta beberapa ekor lagi pada kadar RM5,000 hingga RM10,000 seekor.
Pelaburan besar ini ternyata membuka ruang pasaran yang sangat luas. Thong Kham kini menjadi rebutan peminat ayam baka di seluruh semenanjung.
Ramai penternak sudah mula membuat tempahan awal dan membayar wang pendahuluan semata-mata untuk mendapatkan baka zuriat anak Thong Kham yang dijual pada harga RM1,000 setiap ekor.
Keberanian anak muda Terengganu ini membuktikan bahawa hobi yang diceburi dengan sepenuh hati, pengetahuan tepat, dan pengurusan fasiliti yang kemas mampu berkembang menjadi industri yang sangat menguntungkan.
Melihat kepada kehangatan sambutan peminat baka pama ketika ini, tidak mustahil rekod harga Thong Kham bakal dicabar oleh baka baharu pada masa hadapan.