Kelancaran siri jelajah Asia Tenggara kumpulan rock ikonik, My Chemical Romance (MCR), bukan sahaja bergantung kepada persembahan bertenaga di atas pentas, malah turut didorong oleh pengurusan logistik yang teliti di sebalik tabir.
Terbaharu, syarikat pengendali kargo udara negara, MASkargo, berkongsi penglibatan eksklusif mereka sebagai tulang belakang pengangkutan bagi peralatan konsert kumpulan tersebut sepanjang jelajah berkenaan berlangsung.
Menerusi satu hantaran media sosial, MASkargo memaklumkan bahawa pihak mereka telah mengendalikan penerbangan sewa khas secara eksklusif untuk membawa kelengkapan konsert My Chemical Romance merentasi rantau ini.
Operasi penerbangan tersebut melibatkan laluan bermula dari Bangkok ke Kuala Lumpur, sebelum berakhir di destinasi terakhir iaitu Jakarta.
Bagi memastikan setiap persembahan dapat berjalan mengikut jadual yang ditetapkan, sebuah pesawat kargo telah dikhususkan sepenuhnya untuk memindahkan kesemua peralatan konsert tersebut dari satu bandar ke bandar yang berikutnya.
Menurut MASkargo, pasukan operasi mereka telah bekerja keras di belakang tabir bagi menjamin setiap kelengkapan tiba dengan selamat, tepat pada masanya, dan sedia untuk digunakan bagi setiap persinggahan konsert.
Walaupun siri konsert jelajah My Chemical Romance kini telah melabuhkan tirainya, memori yang tercipta di setiap lokasi pastinya akan terus terpahat dalam ingatan para peminat.
MASkargo turut menzahirkan rasa bangga atas kepercayaan yang diberikan untuk memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan jelajah tersebut, sekali gus memastikan legasi ‘The Black Parade’ terus bergerak dengan jayanya dari satu pentas ke pentas yang lain.