Siapa sangka di tengah-tengah kesibukan negara China, ada sebuah bandar yang menyimpan keunikan tersendiri buat rakyat Malaysia. Bandar raya Guangzhou diiktiraf sebagai bandar China dengan penutur bahasa Melayu terbanyak.
Perkara ini dikongsikan sendiri oleh seorang pengacara, Husna Liang, yang membawa rakan-rakannya iaitu Zaiton, Falisha, dan Husna untuk merasai pengalaman berbual dalam bahasa ibunda kita di sana.
Tarikan Papan Tanda Selamat Datang Di Ali Silk
Destinasi pertama mereka bermula di sebuah kedai kain yang dari jauh lagi sudah kelihatan memaparkan papan tanda bertulis “Selamat Datang”.
Pemilik kedai tersebut menyapa mereka dan apabila ditanya jumlah ukuran kain yang diperlukan untuk membuat baju kurung, wanita itu dengan pantas menjawab, “Satu baju kurung, empat meter lah.”.
Rupa-rupanya, wanita itu menggunakan nama Ali untuk kedainya bukan kerana dia mempunyai suami bernama Ali, sebaliknya nama penuhnya ialah Tang Jiali.

Menurutnya, orang Cina sering memanggil nama di bahagian hujung, sebab itulah dia selesa dipanggil Ali.
Kisah bagaimana Ali belajar bahasa Melayu juga sangat memberi inspirasi. Semuanya bermula dengan kawan-kawan Melayunya yang mengajar dia mengira dari satu hingga sepuluh. Selepas itu, dia mengambil inisiatif sendiri dengan membeli buku di kedai untuk terus belajar.
“Ramai orang China tak boleh cakap English. Kalau bahasa Melayu, lagi tak boleh cakap lah. Jadi kalau saya boleh cakap Melayu, orang datang sini senang berhubung. Bisnes lagi baik lah,” kongsi Ali.
Bagi Ali, ilmu mempelajari bahasa baharu ini pasti akan berguna pada suatu hari nanti. Jika anda ke Guangzhou dan mahu mencari kain, kedai Ali Silk pastinya lokasi yang patut dilawati.
Kejutan Mesra Di Restoran Citarasa Melayu No. 1

Pengalaman mereka tidak terhenti di kedai kain sahaja, malah mereka dikejutkan pula dengan sebuah kedai makan yang dinamakan Citarasa Melayu No. 1 di Guangzhou.
Melangkah sahaja masuk, mereka terus disapa dengan ucapan, “Assalamualaikum. Apa khabar?” oleh seorang abang yang mengambil pesanan.
Lebih mengagumkan, dia mengambil pesanan pelanggan dengan cukup lancar.
“Dua nasi putih, satu kambing satay. Satu sayur, satu ikan. Okey, baik,” katanya sambil mencatat pesanan.
Abang ini mendedahkan bahawa dia belajar bahasa Melayu secara sendiri dan mampu bertutur dalam pelbagai bahasa lain termasuk bahasa Arab, Inggeris, Farsi, Urdu, Jepun, serta Rusia.
Dia memilih nama restoran dalam bahasa Melayu kerana menyedari ramai pengunjung datang dari Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Brunei. Pendekatan menggunakan bahasa yang pelanggan mahu adalah strategi berkesannya untuk menarik pelanggan datang.
Layanan abang ini juga sangat luar biasa. Mengetahui Husna dan rakan-rakannya adalah pelanggan baharu, dia berbesar hati membelanja mereka minuman secara percuma.
“Tak apa, korang pelanggan baharu, saya belanja minum,” pelawanya mesra. Sikapnya yang terlalu ramah tamah itu sampaikan dia tidak sedar tertinggal telefon bimbitnya sendiri di atas meja pelanggan.
Ais Batu Cili Potong Dan Simbolik Guangzhou
Terdapat satu momen menarik ketika mereka sedang makan, di mana rakan Husna meminta ais batu bersama cili potong.
Permintaan ini langsung tidak menghairankan abang restoran tersebut kerana dia memang sudah tahu orang Malaysia selalu makan menu dengan cara begitu.
Di akhir perkongsian, mereka diminta untuk menghuraikan Guangzhou dalam satu perkataan. Rakan-rakannya sepakat memilih perkataan “Mantap!” dan “Terbuka”.
Namun, bagi Husna Liang sendiri, dia memilih perkataan “Ramah tamah”.
Melalui pemerhatiannya, semua individu yang ditunjukkan dalam video tersebut sangat mengalu-alukan kedatangan kawan-kawan asing.
Sememangnya, pengalaman mereka di sana membuktikan bahawa Guangzhou bukan sahaja lubuk perniagaan, tetapi sebuah bandar yang kaya dengan kemesraan yang luar biasa.