Selangor meraih kemenangan sulung dalam Kumpulan H Asian Champions League Two (ACL 2) 2024/25 selepas menundukkan Dynamic Herb Cebu FC 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya sebentar tadi.
Berdepan lawan yang dibelasah 0-6 pada aksi pembukaan menentang Jeonbuk Hyundai Motors tempoh hari, Selangor jelas berada di kelas tersendiri dengan mendominasi permainan sejak wisel permulaan ditiup pengadil dari Tajikistan, Nasrullo Kabirov.
Baca Juga:
- ACL 2 2024/25: Muangthong United, Selangor Terikat 1-1 Di Bangkok
- MFL Benarkan ‘Pasukan Terpilih’ Daftar 12 Pemain Import
- Sabah Cipta Sejarah Layak Ke AFC Women’s Champions League
Penguasaan permainan itu diterjemahkan kepada jaringan pada minit ke-10 apabila Yohandry Orozco menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Ronnie Fernandez untuk meletakkan tuan rumah dihadapan.
Orozco jelas menjadi ancaman terbesar buat wakil Filipina itu dimana beliau mendapat beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan.
Namun, percubaannya hasil kombinasi bersama Fernandez hanya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol lawan pada minit ke-21 dan berselang tiga minit kemudian, rembatannya dalam kawasan penalti berjaya diselamatkan penjaga gol Cebu, Florencio Bedalic.
Memasuki minit ke-29, Badelic menyelamatkan rembatan padu daripada luar kawasan penalti oleh ketua pasukan, Noor Al-Rawabdeh.
Seminit kemudian, Rawabdeh hampir menambah jaringan kedua tetapi gol yang dihasilkannya dibatalkan oleh pengadil kerana beliau terlebih dahulu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Penguasaan skuad kendalian Nidzam Jamil itu berterusan pada babak kedua dengan deretan percubaan dilancarkan oleh barisan pemain Selangor.
Namun, kecemerlangan Badelic dan ketumpulan penyudah jentera serangan menggagalkan usaha Selangor untuk terus merobek gawang Cebu FC.
Kelebihan satu gol itu kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat Selangor sekali gus meletakkan skuad Gergasi Merah di tangga kedua dengan empat mata.
Sebelum itu, Jeonbuk Hyundai mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Muangthong United untuk berada di tangga teratas kumpulan dengan enam mata maksimum.