Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan kempen ACL Champions League 2023/24 dengan nota kemenangan selepas menundukkan BG Pathum United 4-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Kemenangan itu bagaimanapun masih belum mampu untuk membawa skuad kendalian Esteban Solari tersebut ke pusingan seterusnya apabila dua slot teratas menjadi milik Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai.
Pasukan pelawat terlebih dahulu berada dihadapan apabila pemain import, Igor Sergeev menguis masuk bola setelah menerima umpanan lintang cantik daripada Santhiparp Chan-ngom pada minit ke-28.
JDT cuba untuk mengikat kedudukan berselang tiga minit kemudian tetapi rembatan daripada luar kawasan penalti Akhyar Rashid mudah diselamatkan penjaga gol BG Pathum, Chatchai Budprom.
Jaringan yang dinantikan penyokong tuan rumah hadir pada minit ke-55 selepas Bergson da Silva menyempurnakan sepakan penalti untuk kembali mengikat kedudukan.
Sepakan penalti itu dihadiahkan selepas pengadil perlawanan, Ma Ning membuat rujukan Video Assistant Referee (VAR) dan mendakwa bola tandukan Bergson terkena tangan Danilo Alves.
Pengadil dari China itu turut melayangkan kad kuning kedua buat Danilo yang sekali gus menyaksikan beliau diperintah keluar padang.
Kesempatan bermain dengan kelebihan seorang pemain jelas digunakan sepenuhnya oleh barisan pemain JDT untuk memberikan ancaman bertubi-tubi ke arah BG Pathum.
Bergson terlepas peluang pada minit ke-58 apabila gerakannya ke dalam kawasan penalti setelah menerima hantaran Matthew Davies disudahkan dengan rembatan yang melewati palang gol.
Beliau menebus kehampaan tersebut ketika permainan memasuki minit ke-66 hasil percubaan ‘placing’ yang berjaya menewaskan Chatchai untuk memberikan kelebihan buat JDT.
Pemain gantian, Endrick dos Santos tidak ketinggalan untuk meletakkan nama selaku penjaring pada perlawanan ini dengan gol dihasilkannya pada minit ke-86.
Masih belum cukup dengan tiga jaringan tersebut, Arif Aiman Hanapi bertindak cemerlang dengan melakukan gerakan lincah yang kemudiannya menyudahkan peluang untuk mengesahkan kemenangan 4-1.