Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan tempat ke pusingan 16 Asian Champions League (ACL) Elite 2024/25 selepas menewaskan Pohang Steelers 5-2 pada aksi terakhir peringkat kumpulan zon Timur yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.
Kemenangan yang sekali gus meletakkan skuad Harimau Selatan itu dikedudukan keempat dengan 14 mata hasil empat kemenangan, dua keputusan seri dan dua kekalahan.

Baca Juga:
- ACL Elite 2024/25: JDT Atasi Central Coast Mariners Di Australia
- ACL Elite 2024/25: Gol Tunggal Zeca Bantu Shandong Taishan Atasi JDT
- ACL Elite 2024/25: JDT Alami Kekalahan Sulung, Tunduk 1-3 Kepada Gwangju FC
Manakala, Pohang Steelers yang mengalami lima kekalahan pada edisi kali ini tersingkir daripada persaingan ke pusingan seterusnya.
Dengan kedudukan tersebut, JDT akan berhadapan dengan wakil Korea Selatan, Gwangju pada aksi pusingan 16 yang diadakan secara timbal balik.
Tuan rumah bagaimanapun tersentak pada minit ke-26 selepas hantaran cantik Jorge Teixeira ditanduk masuk Lee Ho-jae untuk meletakkan pasukan pelawat dihadapan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, anak-anak buah Hector Bidoglio tampil dengan lebih kemas dalam usaha memburu jaringan penyamaan.
Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-37 apabila Oscar Arribas mudah menolak masuk bola ketika tandukan awal Bergson da Silva pada mulanya diselamatkan penjaga gol, Yun Pyeong-guk.
Stadium Sultan Ibrahim gamat pada minit ke-52 setelah kesilapan pertahanan Pohang Steelers dalam kawasan sendiri memberikan ruang buat Bergson untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Tiga minit kemudian, giliran Arif Aiman Mohd Hanapi pula menghukum kealpaan lawan selepas beliau mematahkan hantaran cuba dilakukan Pyeong-guk lalu mudah menghadirkan jaringan ketiga buat JDT.
Bergson hampir menambah jaringan keempat ketika aksi memasuki minit ke-59, tetapi jaringannya dibatalkan selepas beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Skuad kendalian Park Tae-Ha itu berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi pemain gantian, Kang Hyeon-je yang menolak masuk hantaran Hong Yun-sang pada minit ke-80.
Memasuki minit ke-92, jaringan Heberty hasil serangan balas pantas bersama Jese dibatalkan Video Assistant Referee (VAR) selepas penyerang kelahiran Brazil itu didakwa mengasari Pyeong-guk.
Kekecewaan itu bagaimanapun ditebus Jese berselang empat minit kemudian selepas beliau yang tidak dikawal pertahanan tidak berdepan masalah untuk menambah jaringan.
Ketika pemain dan penyokong tuan rumah sudah berkira-kira untuk berpesta meraikan kemenangan, Jorge Obregon melengkapkan malam gemilang JDT dengan menyempurnakan sepakan penalti untuk kemenangan 5-2.