Kempen AFC Champions League (ACL) Elite 2024/25 bakal memasuki peringkat suku akhir dengan lapan pasukan sudah pun mengesahkan kemaraan.
Seperti yang kita dapat saksikan malam tadi, perjalanan wakil tunggal negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) terhenti selepas skuad kendalian Hector Bidoglio itu tunduk kepada Buriram United 0-1 di laman sendiri.
Baca Juga:
- ACL Elite 2024/25: Gol Tunggal Suphanat Buat JDT Hampa, Hantar Buriram United Ke Suku Akhir
- Mara Ke Pusingan 16 ACL Elite 2024/25, Ini Jumlah Keseluruhan Wang Diterima JDT
- Senarai Lengkap 24 Kelab AFC Champions League Elite 2024-2025
Jaringan tunggal Suphanat Mueanta itu sekali gus meleburkan impian tinggi JDT untuk melakar sejarah baharu kelab tersebut untuk mara ke suku akhir.
Sebaliknya, kemaraan ke suku akhir itu mengulangi pencapaian sama kelab dari Thailand tersebut pada edisi 2013.

Kini, tumpuan beralih kepada pasukan-pasukan lain yang telah berjaya mara ke suku akhir, dengan persaingan yang dilihat bakal semakin sengit dan menjanjikan perlawanan menarik.
Berikut merupakan senarai penuh lapan pasukan yang mara ke suku akhir:
Suku Akhir ACL Elite 2024/25
1) Al Hilal (Arab Saudi)
Juara empat kali saingan itu bangkit daripada kekalahan 0-1 pada perlawanan pertama ketika berdepan wakil Uzbekistan, Pakhtakor.
Skuad kendalian Jorge Jesus itu membuktikan kejaguhan di laman sendiri untuk mencatatkan kemenangan 4-0.
2) Al Ahli (Arab Saudi)
Skuad yang diperkuatkan dengan kehadiran Riyad Mahrez dan Ivan Toney itu tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan wakil Qatar, Al Rayyan dengan kemenangan 5-1 menerusi agregat.
3) Al Nassr (Arab Saudi)
Pasukan yang sentiasa mencuri tumpuan ramai kerana aura Cristiano Ronaldo serta kemampuan hebat Jhon Duran ini berjaya menundukkan wakil Iran, Esteghal 3-0 menerusi agregat.
4) Al Sadd (Qatar)
Al Sadd yang pernah muncul juara sebanyak dua kali menundukkan wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al Wasl dengan agregat 4-2.

5) Yokohama F. Marinos (Jepun)
Naib juara edisi lalu ini melangkah ke suku akhir dengan bergaya selepas menumbangkan Shanghai Port dari China dengan keputusan agregat 5-1.
6) Kawasaki Frontale (Jepun)
Kawasaki bangkit daripada kekalahan 0-1 pada aksi pertama untuk meraih kemenangan 4-1 menerusi agregat.
7) Buriram United (Thailand)
Terikat tanpa jaringan di laman sendiri, Buriram United tidak menghiraukan sorakan padu lebih 30,000 penyokong JDT untuk menang 1-0 hasil jaringan Suphanat.
8) Gwangju (Korea Selatan)
Jaringan cantik daripada Asani pada lewat masa tambahan membolehkan Gwangju menewaskan Vissel Kobe dari Jepun dengan agregat 3-2.
Lebih manis, Gwangju bangkit daripada kekalahan 0-2 pada aksi pertama di Jepun untuk melangkah ke pusingan seterusnya.