Undian suku akhir AFC Champions League Elite (ACL Elite) 2025/26 yang diadakan sebentar tadi menyaksikan wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menanti pemenang aksi antara juara bertahan, Al-Ahli bertemu Al Duhail dari Qatar.

Satu lagi wakil Asia Tenggara, Buriram United pula akan berhadapan dengan pemenang antara aksi Tractor dari Iran dan Shabab Al Ahli (Emiriah Arab Bersatu – UAE).

Al-Hilal yang terlebih dahulu akan berhadapan dengan Al Sadd dari Qatar di pusingan 16 pula bakal bertemu Vissel Kobe.

Manakala, Machida Zelvia pula akan menanti Al-Ittihad atau Al Wahda dari UAE.

Menepis spekulasi yang mengatakan aksi pusingan 16 ACL Elite bagi Zon Barat berkemungkinan bakal diadakan di Malaysia, AFC mengesahkan empat perlawanan tersebut tetap akan berlangsung di Arab Saudi.

Bagaimanapun susulan kekecohan di Iran, badan induk bola sepak Asia itu telah mengubah format aksi pusingan 16 tersebut kepada pertembungan satu perlawanan sahaja.

Empat perlawanan melibatkan Al-Ahli, Al Duhail, Al-Hilal, Al-Ittihad, Al Sadd, Shabab Al Ahli, Al Wahda dan Tractor itu akan berlangsung di Jeddah pada 13 dan 14 April nanti.

Kemudiannya suku akhir akan diadakan pada 16, 17 dan 18 April. Separuh akhir pula berlangsung 20 dan 21 April manakala final dijadualkan pada 25 April.

Keputusan penuh undian suku akhir ACL Elite 2025/26

1) Al-Hilal/Al Sadd vs Vissel Kobe

2) Al Ahli Saudi/Al Duhail vs JDT

3) Machida Zelvia vs Al-Ittihad/Al Wahda

4) Buriram United vs Tractor/Shabab Al Ahli