Baru-baru ini tular satu klip video memaparkan seorang lelaki mengacukan pistol ke arah seorang pengguna jalan raya.
Dalam satu perkembangan terkini, pihak polis daerah Brickfielsds mengesahkan dua lelaki masing-masing berusia 19 dan 27 tahun ditahan.
Hasil siasatan mendapati salah seorangnya mengacukan pistol tiruan yang dibeli daripada aplikasi TikTok.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata kejadian dilaporkan mangsa berusia 28 tahun itu pada 12.55 tengah malam.
Menurut mangsa, kereta Honda City dipandunya dilanggar sebuah Toyota Yaris berwarna merah di bahagian cermin sisi kanan pada kira-kira 11 malam di Taman Desa.
“Pertengkaran antara kedua-dua pihak tercetus dan pemandu Toyota Yaris didakwa mengeluarkan sepucuk pistol berwarna hitam sebelum mengacukannya ke arah mangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.
“Kedua-dua suspek direman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960,” katanya.