‘Dah pinjam kenalah bayar balik’ – inilah frasa yang senang diungkap tapi sukar diterjemah dalam perbuatan oleh segelintir individu.
Terbaharu, dilaporkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang kini sudah mencapai usia 60 tahun masih belum selesai membayar balik pinjaman yang diberikan.
Perkara ini didedahkan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim kepada Berita Harian, ketika mengulas perihal tahap kesedaran peminjam tabung pendidikan itu dalam menunaikan tanggungjawab melunaskan hutang pinjaman.
“Tidak wajar pada usia sedemikian, masih ada yang belum menjelaskan bayaran hutang pinjaman,” katanya dalam temu bual eksklusif.
Bagi beliau, kesedaran peminjam untuk membayar balik sangatlah penting kerana PTPTN memerlukan sebanyak RM3 bilion bagi membiayai kos pendidikan tinggi seramai 450,000 peminjam sedia ada dan secara puratanya 150,009 peminjam baharu pada setiap tahun.
Katanya antara cabaran besar yang dihadapi oleh pihaknya adalah memperoleh semula dana yang dikeluarkan sebagai peminjam pendidikan.
Lebih mengejutkan apabila didakwa lebih 430,000 peminjam tidak pernah membuat sebarang bayaran balik pinjaman walaupun sekali, membabitkan hutang tertunggak RM5.46 bilion, iaitu sebahagian daripada keseluruhan tunggakan RM11.32 bilion yang membabitkan lebih 1.25 juta peminjam sehingga September lalu.
“Jika dalam tempoh dua atau mungkin lima tahun anda tidak bekerja yang menyebabkan anda tidak dapat membuat bayaran balik, itu masih boleh diterima, namun kalau sudah melebihi 10 tahun?,” kata Norliza.
Amatlah penting buat para peminjam untuk membayar balik pinjaman dek kerana demi kelangsungan PTPTN untuk terus membantu pelajar memerlukan.
Perlu diketahui jika dana tidak mencukupi, ia bakal menjejaskan kelangsungan tabung pendidikan tinggi yang amat diperlukan untuk membantu pelajar generasi akan datang.
Menerusi kajian terbaharu mereka, ia menunjukkan ada peminjam benar-benar tidak mampu, hilang pekerjaan atau menghadapi masalah kesihatan, namun sebahagian lagi langsung tidak menyedari kepentingan tanggungjawab itu.
“Ada juga sengaja meletakkan bayaran balik pinjaman PTPTN sebagai keutamaan rendah. Ini tidak adil bagi mereka yang bertanggungjawab dan komited buat bayaran balik, ramai berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Dana pendidikan ini terancam akibat peminjam lain gagal menunaikan tanggungjawab. Mereka faham peluang melanjutkan pelajaran yang mereka nikmati adalah satu amanah dan tanggungjawab untuk memastikan generasi akan datang turut diberi peluang sama.
“Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu menghargai sistem yang telah membantu jutaan rakyat mencapai impian pendidikan tinggi mereka dan berusaha memastikan kelangsungannya,” katanya.
Tambahnya, pelbagai cara dilakukan PTPTN untuk menghubungi peminjam bagi memastikan mereka melunaskan pinjaman, termasuk menghantar makluman tunggakan dan notis peringatan melalui kaedah e-mel, panggilan telefon serta aplikasi myPTPTN.
Dia juga bakal mengambil langkah drastik jika peminjam masih gagal melunaskan hutang lebih-lebih lagi yang memiliki tunggakan melebihi 10 tahun dan ke atas atau yang langsung tidak pernah membuat bayaran.