Persoalan adakah Cristiano Ronaldo akan meninggalkan Real Madrid akhirnya terjawab semalam apabila kelab Real Madrid membuat kenyataan rasmi bahawa Cristiano Ronaldo sah akan berpindah ke Juventus.
Nilai perpindahan Ronaldo ke Juventus bernilai €100 juta (RM473 juta +-) dan bakal menerima gaji yang sangat lumayan; €500,000 (RM2,674,000+-) seminggu!
Ada yang bertanya adakah Juventus sudah gila untuk membeli seorang yang sudah berusia 33 tahun dengan harga €100 juta dan diberi gaji sebanyak itu selama 4 tahun? Banyak sebab yang membuatkan Ronaldo mahu keluar daripada Sepanyol terutamanya kerana kadar cukai di Sepanyol yang sangat tinggi.
Bagi pengurusan Juventus, ini adalah salah satu pelaburan jangka panjang kerana kehadiran Ronaldo ke kelab berkenaan semestinya dapat menaikkan lagi nilai kelab di samping dapat menarik penaja-penaja baharu ke Juventus di masa hadapan.
Seperti perpindahan Paul Pogba ke Manchester United sebelum ini, jualan jersi kelab Juventus dengan nama Ronaldo semestinya akan dapat menampung sebahagian modal untuk membawa masuk Ronaldo ke Juventus.
Musim sebelum-sebelum ini juga Juventus tidak berbelanja besar. Mereka dapat pemain hebat seperti Andrea Pirlo, Sami Khedira and Dani Alves secara percuma. Perpindahan Paul Pogba ke Manchester United juga menyumbang keuntungan kepada Juventus apabila dijual pada harga €70 juta.
Adalah pembelian ini berbaloi? Ronaldo adalah penjaring Real Madrid yang hebat kerana berjaya merekodkan 451 gol dalam 438 perlawanan. Untuk musim lalu, beliau masih lagi mampu menyumbat 44 gol dan untuk Ballon d’Or pula, beliau sudah memenangi anugerah berkenaan sebanyak 4 kali.
Penganalisa keewangan Rob Wilson dari Universiti Sheffield Hallam berkata pelaburan Juventus untuk Ronaldo adalah sesuatu yang pastinya berbaloi. Bukan hanya ianya akan memperkuatkan pasukan Juventus, tetapi turut akan memperkuatkan keewangan kelab itu.
Beliau menambah, membeli Ronaldo bukan sekadar membeli pemain bola sepak. Anda turut sama membeli seorang yang sangat dikenali di seluruh dunia. Dengan pembelian ini, Juventus nyata akan mampu menarik lebih banyak sponsorship untuk kelab berkenaan di samping menarik lebih ramai pemain hebat untuk menyertai Juventus.
Pendek kata, pembelian Ronaldo adalah pelaburan penting buat Juventus untuk masa depan. Liga Serie A selepas ini pun kini sudah ada penyeri baharu dan tidak akan sendu lagi. Cabaran buat Real Madrid untuk mencari ‘teman pengganti’ untuk Ronaldo dan kemungkinan besar, bintang Perancis Kylian Mbappé atau Neymar akan berada di dalam radar Real Madrid.
@cristiano https://t.co/88xFtX3Xw4 #CR7Juve pic.twitter.com/nnG0N4074U
— JuventusFC (@juventusfc) July 10, 2018
Dengan berat hati, peminat Real Madrid perlu merelakan pemergian Ronaldo ke Juventus. La Liga pastinya akan kurang seri dan Messi semestinya akan ‘merindui’ seteru utama beliau ini. Selamat tinggal Ronaldo dan selamat datang ke Juventus.