Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon memberi bayangan kemungkinan akan menurunkan muka baharu, Adib Raop dalam kesebelasan utama ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 nanti.

Beliau menyifatkan Adib memiliki ciri-ciri pemain idamannya dan sudah lama memantau perkembangan tonggak pertahanan Penang itu.

Baca Juga:

“Saya rasa anda semua pun tahu. Kita tidak memiliki ramai pemain yang boleh mengisi posisi Safawi dan Akhyar.

“Tetapi Adib pun boleh juga diberikan peluang. Dia pemain yang cukup menarik di mana kami sememangnya mencari pemain seperti ini yang memiliki kepantasan, kekuatan, agresif dan ‘endurance’.

“Dia sangat sesuai dengan falsafah permainan pasukan. Kita hanya perlu menunggu masa sesuai untuk melihat Adib menyerlah. Untuk dua tiga perlawanan musim ini bersama Penang FC dalam Liga Super, dia bermain baik.

“Bagaimanapun, kadangkala mungkin pemain lain juga boleh diturunkan mengikut taktikal tetapi kita akan memanfaatkan tempoh masa yang ada ini untuk mencari pemain yang benar-benar sesuai bagi mengisi posisi terbabit,” kata Pan Gon dipetik dalam Berita Harian.

FOTO: FAM

Selain Adib Raop, antara pemain baharu yang menyertai kem latihan pusat  kali ini ialah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Kedah Darul Aman FC) Feroz Baharudin (Johor Darul Ta’zim), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC), dan Engku Shakir Engku Yacob (Terengganu FC).

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan kelima Kumpulan D menentang Republik Kyrgyz pada Khamis, 6 Jun 2024 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum terbang pulang bagi perlawanan keenam bertemu Chinese Taipei di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 11 Jun 2024.

Sementara dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Chinese Taipei bertemu Oman di Taipei pada 6 Jun 2024 sebelum Oman menanti kunjungan Republik Kyrgyz di Muscat pada 11 Jun 2024.

Kemenangan amat penting untuk mencerahkan peluang mendapatkan tiket automatik layak ke Piala Asia 2027 serta mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.