Kelab gergasi negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi bakal bertemu Ulsan HD FC apabila kedua-dua pasukan diundi berentap di Stadium Sultan Ibrahim dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini.

Namun, kali ini lebih menarik kerana Ulsan HD atau nama lamanya Ulsan Hyundai FC dikendalikan oleh bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Baca Juga:

Ianya memberi sedikit kelebihan kepada Ulsan HD kerana Kim Pan Gon sangat mengenali beberapa pemain JDT yang beraksi bersama skuad kebangsaan ketika dibawah bimbingannya.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards menyifatkan Kim Pan Gon tidak tahu kekuatan sebenar jentera serangan baharu skuad Harimau Selatan walaupun mengenali pemain tempatan.

JDT telah menandatangani beberapa pemain import baharu seperti Park Jun Heong, Enzo Lombardo, Eddy Israfilov, Iker Undabarrena dan penjaga gol, Christian Abad bagi menambah kekuatan menghadapi ACLE.

“Ini adalah kali ketiga berturut-turut kita diundi dengan Ulsan dan jika melihat rekod lalu, JDT mampu berikan saingan dengan meraih keputusan positif ketika menentang mereka.

“Mengenai Pan-gon, saya rasa kedua-dua pihak memiliki kelebihan kerana banyak pemain kami dalam skuad kebangsaan yang mengetahui dengan taktikal Pan-gon dan begitu juga sebaliknya.

“Mungkin tiada kejutan tetapi saya jangka dia (Pan-gon) tidak tahu dengan kekuatan jentera serangan baharu kami.

“Apa yang pasti, kami gembira apabila dua kelab yang memiliki sejarah hebat dapat bertemu di peringkat tertinggi kali ini,” katanya dipetik dalam Harian Metro.

Berdasarkan rekod pertemuan, JDT pernah menewaskan Ulsan HD dua kali ketika peringkat kumpulan ACL. Musim lepas, mereka menang sekali dan tewas sekali di tempat lawan.