Ketika ramai yang mengatakan acara Pembukaan Sukan Olimpik 2024 di Paris tidak menepati selera para peminat sukan, persembahan pembukaannya juga turut dikecam kerana ibarat jarum halus yang mahu menormalisasikan agenda LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender) ke seluruh dunia.
Ia selepas satu kumpulan transgender diberi peluang untuk membuat persembahan yang dikatakan menghina ‘The Last Supper’, satu peristiwa suci bagi agama Kristian.
Antara yang dipersembahkan ketika persembahan tersebut adalah tarian ‘wanita’ berjanggut yang menari di atas platform sambil disorak oleh rakan-rakannya yang lain.
Bekas wartawan Fox News, Kyle Becker antara yang lantang bersuara tentang perkara itu di Twitter.
“Olimpik Paris 2024 telah jadi satu acara penuh distopia ‘Woke’. Persembahan pembukaan dicemari persembahan transgender dengan penghinaan terhadap The Last Supper, The Golden Calf, dan kisah Pale Horse daripada Book of Revelation,” tulis Kyle.
Persembahan tersebut ternyata menggores hati penganut agama Kristian yang menyaksikan persembahan tersebut dan ramai yang tertanya-tanya bagaimana sesuatu seperti itu boleh diluluskan dan ditayangkan di seluruh dunia.
Tidak kurang juga ramai yang membandingkan persembahan pembukaan Olimpik Paris ini dengan persembahan pembukaan edisi sebelum ini terutamanya Olimpik Beijing 2008 yang jauh lebih gah dan hanya memfokuskan kepada penganjuran sukan olimpik tanpa menyebarkan idealogi yang bukan-bukan.