Baru-baru ini, tular di negara seberang apabila seorang ahli politik secara terbuka meluahkan rasa kecewa terhadap sistem kad pengenalan pintar mereka, E-KTP, yang dianggap masih jauh ketinggalan fungsinya jika dibandingkan dengan MyKad milik Malaysia.

Ahli Suruhanjaya II DPR RI (Dewan Perwakilan Rakyat), Deddy Sitorus, telah membangkitkan isu ini dan mengkritik hebat Timbalan Menteri Dalam Negeri Indonesia, Bima Arya, dalam satu mesyuarat jawatankuasa baru-baru ini.

Wakil dari parti PDI Perjuangan (PDIP) itu secara terang-terangan membandingkan E-KTP dengan kad pengenalan rakyat Malaysia, MyKad.

@resetrevivereborn

#fy #fyppppppppppppppppppppppp #fypage #indonesia #ktp

♬ original sound – Reset_Revive_Reborn – Reset_Revive_Reborn

Beliau menyifatkan MyKad berjaya direka bentuk sebagai kad pintar pelbagai guna (multi-purpose smart card), berbeza dengan nasib E-KTP yang walaupun sudah bertahun-tahun dilengkapi teknologi cip, namun manfaat kad tersebut masih tidak dapat dirasai sepenuhnya.

Deddy meluahkan rasa kekecewaan rakyat Indonesia terhadap birokrasi negara itu yang dianggap sangat menyusahkan.

Walaupun kad pengenalan sudah canggih dan bercip, rakyat di sana masih kerap diminta menyediakan salinan fotostat KTP, Kad Keluarga (KK), surat beranak, sehinggalah ke surat baptis, apabila mereka kehilangan dokumen atau untuk urusan perkhidmatan kerajaan yang paling asas.

Pembaziran Trilion Rupiah Akibat Tiada Integrasi Data

Lebih mengecewakan, ketiadaan integrasi data secara nasional ini menyebabkan pembaziran bajet negara yang sangat besar.

Deddy mendedahkan betapa pelbagai institusi kerajaan seperti Pertamina, Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU), BPJS, dan Kementerian Sosial terpaksa membelanjakan trilion rupiah setiap tahun semata-mata untuk menguruskan sistem data pelanggan atau pemilih masing-masing secara berasingan

“Kalau bab membazirkan wang, kita memang juara nombor satu, Pak,” tegasnya.

Beliau menambah, sekiranya sistem ID tunggal digunakan secara berkesan, KTP tersebut boleh digunakan untuk semua urusan, tanpa perlu membuang bajet yang membebankan setiap tahun.

Dalam kritikan pedasnya, pemimpin kelulusan Universiti Simalungun ini menegaskan bahawa kunci masalah tersebut berbalik kepada soal keazaman politik (political will).

Beliau tanpa berselindung menyebut secara lantang — “Entah bila kita mahu selesaikan. Kita harus akui kita lebih bodoh daripada orang Malaysia dalam urusan ini, kerana ia tidak pernah selesai.”

Pada akhirnya, Deddy Sitorus memberi amaran keras dan menuntut agar kerajaan Indonesia segera melaksanakan integrasi pangkalan data secara nasional.

Beliau berharap agar data yang pada hakikatnya sudah berada di hujung jari ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya supaya wang negara tidak terus terbuang sia-sia dan pelayanan awam tidak lagi menyusahkan rakyat.