Isu kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam syarikat Fashion Valet terus menjadi bahan perdebatan hangat di Dewan Rakyat dengan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang turut sama kecam pelaburan dana awam yang merugikan.
Menerusi video pendek yang dikongsikan oleh MalaysiaKini, Ahli Parlimen pembangkang, Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, lantang mengkritik kenyataan yang menyifatkan kerugian RM43.9 juta itu sebagai “sedikit” berbanding keuntungan keseluruhan dua syarikat tersebut.
Baginya RM43.9 juta bukan jumlah yang sedikit dan mempersoalkan adakah cukup hanya meminta maaf atas kerugian yang memakan berjuta duit dana awam.
Beliau turut menambah bahawa imej pasangan suami isteri pengasas FashionValet yang sebelum ini gemar berkongsi gaya hidup mewah di media sosial mencetuskan rasa kurang senang di kalangan orang ramai.
“Gaya hidup mewah mereka—handbag satu bilik. Tapi sekarang, semua itu dah dipadam,” tambahnya lagi, menyindir tindakan pasangan tersebut yang dilihat menyembunyikan paparan kemewahan mereka selepas isu kerugian ini menjadi perhatian umum.
Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) turut membangkitkan isu sama ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025.
Beliau meluahkan rasa kecewa kerana pihak terlibat mudah sahaja berundur daripada pengurusan dan meminta maaf walaupun wang rakyat sudah ‘lebur’.
Kelvin Yii (PH-Kuching) pula memuji langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan siasatan menyeluruh dalam isu ini.
Anwar mengarahkan Khazanah menjalankan audit dalaman untuk menyiasat kerugian FashionValet, selain meminta Jabatan Audit Negara mengaudit sekitar 2,000 syarikat GLC lain.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, turut mencelah dalam perbahasan tersebut, melontarkan soalan berkaitan aspek kelulusan dan tatakelola kewangan pelaburan ini.
Katanya seperti yang dilaporkan Awani, yang turut mempertikaikan prosedur dan tatakelola kewangan melibatkan wang rakyat dalam pelaburan ini.
Ramli menyambung, “Sebab duit rakyat RM40 juta lebih dibelanjakan. Minta maaflah, saya sebelum ini penyiasat. Benda-benda ini, dalam kepala saya tak boleh compute (terima), dari aspek tatakelola.”