Pengasas platform beli-belah fesyen terkemuka FashionValet, Vivy Yusof dan Fadza Anuar tampil memberikan kenyataan berhubung kerugian yang dialami syarikat tersebut yang melibatkan Khazanah, serta PNB.

Menerusi satu hantaran bersama Instagram kedua-dua pengasas tersebut, mereka meminta maaf kepada para pelabur kerana terpalit dengan kontroversi hangat yang diperkatakan oleh warganet ketika ini.

Baca Juga:

“Berdasarkan liputan berita terbaru FashionValet — kami merasakan adalah penting untuk membuat kenyataan atas kapasiti peribadi kami sebagai pengasas perniagaan.

“Kami ingin menyatakan dari awal bahawa kami bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pelaburan. Sebagai dua orang yang bertanggungjawab menguruskan syarikat, masalah berhenti bersama kami dan hakikatnya kami telah mengecewakan pelabur kami.

Menurut mereka, kegagalan FashionValet adalah disebabkan perkembangan yang terlalu agresif dan tidak merancang sebaik mungkin.

Antaranya adalah melabur teknologi sendiri, kembangkan pasukan terlalu cepat dan menambah terlalu banyak outlet.

Tindakan itu telah menyebabkan bisnes terjejas teruk apabila pandemik melanda dunia.

“Walaupun kami cuba mengurangkan kos untuk menjimatkan wang tunai, (termasuk menutup platform e-dagang kami), keadaan tetap menjadi lebih teruk,” petik kenyataan rasmi mereka.

Dalam pada itu, Vivy dan Fadza meluahkan perasaan amat kesal atas kontroversi yang telah timbul sehingga menjejaskan nama Khazanah dan PNB.

“Mereka sentiasa bertindak secara profesional dan demi kepentingan organisasi mereka.

“Kami berharap kekecewaan ini tidak menjadi penghalang, dan mereka akan terus menyokong usahawan tempatan yang lain,” katanya lagi.

Vivy dan Fadza turut mengumumkan pengunduran daripada jawatan tertinggi syarikat tersebut.

“Akhirnya, kami fikir sudah tiba masanya untuk kami meninggalkan perniagaan, dan melepaskan jawatan kami.

“Kami tidak mahu isu-isu berikutnya menjejaskan lagi syarikat, memandangkan ia sedang dalam peringkat pemulihan,” jelas Vivy Yusof dan Fadza Anuar.

Sumber