Kisah disebalik drama terbaru perniagaan tempatan kembali menjadi tumpuan ramai selepas Writ Distres melibatkan salah satu butik terkenal di bawah nama Datin Vivy Yusof tular di media sosial.

Dokumen yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen Sepang menunjukkan tunggakan sewa berjumlah hampir RM68,872 untuk dua bulan, membawa kepada tindakan undang-undang oleh pihak IOI City Mall.

Berdasarkan dokumen yang tular, butik yang diuruskan oleh SITCA Designs Sdn Bhd—dilaporkan berkaitan jenama terkenal Vivy Yusof—telah gagal melunaskan sewa selama dua bulan, Oktober hingga November 2024.

Ini mendorong IOI City Mall untuk mengambil langkah drastik melalui permohonan Writ Distres.

Jumlah sewa bulanan butik tersebut yang dilaporkan sekitar RM33,500 telah mencetuskan persoalan di kalangan netizen: “Berapa agaknya sewa butik di lokasi lain seperti KLCC, Pavilion KL, dan TRX?”

Di media sosial, reaksi bercampur-baur. Ada yang menyuarakan rasa simpati terhadap cabaran perniagaan tempatan, terutama syarikat Bumiputera.

“Sedih.. Company Bumiputera. Moga Allah gantikan dengan yang lebih baik. Jangan gembira dengan kejatuhan orang lain,” kata seorang netizen.

Namun, tidak kurang juga yang bersikap sinis terhadap jenama tersebut.

Kes ini turut membuka perbincangan tentang kos operasi tinggi bagi perniagaan fesyen di lokasi premium, terutamanya dalam situasi ekonomi global yang semakin mencabar.

Sebelum ini, penutupan butik Duck di KLCC juga menjadi buah mulut ramai.

Kini, dengan isu tunggakan sewa di IOI City Mall, ada pihak mula membuat spekulasi sama ada ini petanda cabaran kewangan yang lebih besar dalam empayar perniagaan Vivy Yusof.

Pada 5 Dis lalu, Vivy Yusof, yang nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan RM8 juta dana pelaburan milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Pasangan itu, selaku pengarah FashionValet Sdn Bhd, didakwa mempunyai niat bersama untuk melakukan CBT ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran RM8 juta daripada akaun bank FashionValet Sdn Bhd kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan lembaga pengarah FashionValet.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.