Isu kerugian dana awam akibat pelaburan dalam syarikat FashionValet Sdn Bhd masih hangat diperbincangkan di media sosial, terutamanya apabila koleksi beg tangan mewah milik pengasas FashionValet, Vivy Yusof, kembali tular.

Koleksi ini, yang dikatakan bernilai lebih dari RM1.5 juta, mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen, terutama selepas Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dilaporkan mengalami kerugian RM43.9 juta melalui pelaburan mereka dalam syarikat tersebut.

Baru-baru ini, seorang pengguna di aplikasi X (sebelumnya dikenali sebagai Twitter) membuat perkongsian dengan menyenaraikan koleksi mewah Vivy.

Menurutnya, koleksi beg tangan mewah Vivy Yusof mengandungi pelbagai beg jenama mewah, termasuklah enam Dior Saddle (anggaran RM19k setiap satu), enam Lady Dior (anggaran RM28k-RM30k setiap satu), sebuah Montaigne (RM18k), dan Hermes Constance (RM60k).

Paling mencuri tumpuan adalah dua Hermes Birkin yang dianggarkan bernilai hampir RM900,000, termasuk satu daripada kulit buaya yang berharga RM450,000 ke RM500,000.

Bukan itu sahaja, Vivy juga dikatakan mempunyai koleksi kasut mewah, seperti Manolo (RM6k sepasang), Dior slingback pump (RM4k-RM5k sepasang), Valentino (USD1,200 sepasang), dan Louboutin.

Jumlah anggaran keseluruhan koleksi beg tangan dan kasutnya sahaja dikatakan mencecah angka RM1.5 juta.

Komen-komen netizen rata-rata terkejut dan kagum, namun ada juga yang skeptikal.

Ada yang menyindir, “Handbag dia lebih mahal dari rumah saya,” dan ada yang terpegun, “Terus hilang ngantuk baca ni.”

Gaya hidup Vivy menjadi tumpuan kontroversi, terutama dalam konteks kerugian dana awam melibatkan Khazanah dan PNB.

Netizen mendesak penjelasan mengenai kerugian pelaburan ini, menyatakan bahawa tanggungjawab harus diambil atas kegagalan ini.

Sebelum ini Vivy dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, akhirnya mengumumkan perletakan jawatan mereka dari FashionValet dan mengakui kesilapan yang telah berlaku.

Mereka berdua menyatakan kesediaan untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan pelaburan tersebut, namun masih ramai yang menuntut ketelusan dan penjelasan lebih lanjut.

Krisia ini membuka mata masyarakat terhadap isu-isu yang melibatkan penggunaan dana awam untuk pelaburan syarikat swasta.

Walaupun gaya hidup mewah Vivy dan koleksi barangannya bukan sesuatu yang asing di kalangan usahawan berjaya, namun dalam konteks ini, ia menjadi persoalan apabila syarikat yang mendapat pelaburan dana awam rugi, tetapi pengasasnya hidup sedang dengan barangan mewah.